Boria dan Dikir Barat
Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.
Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian boria diketuai oleh seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria yang hujung sukukatanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.
Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat-alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu penggunaan alat-alat muzik seperti violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika adalah digalakkan. (wikipedia).
Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.
Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir dikenali dengan pelbagai nama seperti dikir maulud, dikir Pahang, dikir Rebana dan dikir berarak. Dikir-dikir ini dilagukan dengan iringan pukulan rebana atau kompang.
Sejenis nyayian yang terkenal dinegeri Kelantan. Nyanyiannya diringan dengan pukulan rebana. Merupakan kebudayaan yang agak baru dipopularkan. Dinyanyikan secara beramai-ramai dalam bentuk pantun. Seorang ketua yang dikenali sebagai tukang dikir atau tukang karut akan memulai nyanyian yang akan diulang oleh pengiring secara beramai-ramai. (wikipedia).
Dua persembahan diatas telah menjadi persembahan utama di Festival Kebudayaan IPTA 2009 (FEStKUM) yang berlangsung di DCTAR UKM mulai 9 hingga 12 Disember 2009.
Walaupun dua persembahan itu mewakili dua negeri di Malaysia, Pulau Pinang dengan Boria, manakala Dikir Barat datang dari Kelantan namun, ramai siswa/i yang terpesona dengan persembahan tersebut.
Malahan apa yang saya lihat dua persembahan ini boleh dipersembahkan dengan penuh semangat oleh wakil-wakil IPTA masing-masing. Saya fikir sudah tentu tidak semua ahli Boria mahupun Dikir Barat datang dari pelajar yang bukan orang Pulau Pinang bagi Boria, Kelantan bagi Dikir Barat. Pada hemat saya sudah tentu mereka yang pernah mengikuti persembahan kedua-dua persembahan itu akan terhibur. Cuma pada pemerhatian saya sudah tentu orang yang bukan rakyat Kelantan sudah pasti tidak akan faham apa yang didendangkan oleh pendikir. Walau apapun bagi saya yang faham bahasa Kelantan menonton Dikir Barat cukup menghiburkan.
Boria menggunakan bahasa buku oleh Tukang Karangnya. Mudah untuk memahami bait-bait lagunya. Namun yang menariknya sketsa diawal persembahan menggunakan logat utama. Pada saya ini satu kemestian. Sketsa dalam boria satu indentinya kerana ia memberikan gambaran pada lagu Boria yang akan dipesembahkan kelak.
Kalau ada pun usaha untuk memahami bahasa dalam Dikir Barat agak sukar kerana ia menggunakan bahasa Kelantan, namun pada hemat saya ianya tidak usah diubah menggunakan bahasa lain. Ini kerana menggunakan bahasa Kelantan lebih menghiburkan. Kerana ada waktunya ia melucukan.
Sepanjang saya menonton Dikir Barat watak Tukang Karut dan ahli-ahlinya memainkan peranan penting. Contoh, penampilan watak gemuk, gigi rongak lebih menarik untuk menentukan mutu persembahannya!
Saya suka Boria dan Bikir Barat kerana saya memahami apa yang ungkapkan. Bahasa dalam sketsanya adalah bahasa utara slang Pulau Pinang. Dalam Dikir Barat ia menggunakan bahasa Kelantan yang cukup indah. Saya memahaminya kerana saya lama bercampur dengan masyarakat daerah Sik, Kedah yang bercakap menggunakan loghat melayu Kelantan.
Siapa kata anak-anak muda kita tidak menyukai budaya tempatan. Sepanjang hari saya membuat liputan fotografi di FEStKUM, saya melihat DECTAR telah dikuasai oleh anak-anak muda dari siswa/i IPTA. Melihat dalam kelompok mereka ramai anak-anak muda Kelantan, maka saya membuat andaian Dikir Barat tidak akan berkubur.
Ulasan