Ceramah: Saya Jurufoto Makan Gaji

Saya akan mengadakan satu ceramah yang bertajuk: Saya Jurufoto makan gaji pada 19 Januari 2018. Penganjur: Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM. Ceramah ini akan membicara bagaimana saya melalui detik-detik kehidupan dalam kerjaya sebagai Jurufoto dengan memperolehi kehidupan yang damai dan selesa walaupun tidak berpangkat besar. Ceramah ini diadakan menjelang persaraan saya pada April 2018.

Kepada yang berminat sila hubungi saya di emel: raaios@yahoo.com

09 November 2009

Kasihan penumpang komuter



Seawal pukul 6.30 pagi tadi saya telah sampai di hentian komuter UKM bersama isteri. Isteri saya merupakan penumpang tetap sejak lapan bulan lalu setelah bertukar tempat ke Kuala Lumpur. Saya perlu menaiki komuter kerana hendak ke hentian Madvaley KL untuk satu tugasan di sebuah hotel di situ. Kalau ke KL saya lebih selesa menaiki komuter atau LRT sahaja. Jimat, dan tidak tertekan dengan kesesakan jalan raya.

Train yang sepatutnya datang pukul 6.35 pagi dari Seremban telah lewat lebih 10 minit. Saya tidak tertekan sangat kerana majlis yang akan buat liputan akan bermula pukul 9 pagi. Penumpang semakin ramai. Train datang kira-kira pukul 6.45 pagi.

Di hotel saya membaca satu rencana yang ditulis di Utusan Malaysia. Elok rasanya saya petik 100% rencana tersebut untuk dibaca oleh anda yang "tak suka beli Utusan"

Khidmat KTM Komuter semakin baik atau bertambah buruk?

(petikan Utusan Malaysia 9 Nov 2009)

SEMALAM, ketika tercari-cari mengenai isu apa yang ingin ditulis, penulis terselak satu blog luahan rasa seorang pengguna KTM Komuter.
Beliau 'tidak bahagia' dengan perkhidmatan yang berusia 14 tahun itu. Setelah membaca luahannya, penulis mahu membicarakan isu ini. Walaupun beberapa rakan meminta supaya disentuh isu bai'ah, tetapi penulis beritahu: ''Ana dah muak dengan politik''. Kata mereka lagi, ini bukan politik tetapi ada kaitan dengan agama.

Penulis menjawab, ''Kalau soal agama, ana tidak ada tauliah nak ulas''. Tetapi penulis maklumkan kepada rakan-rakan itu bahawa dalam politik, kadangkala agama ditolak ketepi asalkan niat mereka tercapai. Kata orang, politik menghalalkan cara. Ada perbuatan atau percakapan yang dilarang tetapi bagi sesetengah orang politik, ia dibolehkan.

Begitu juga sebaliknya. Ada perkara betul dianggap tidak betul dan yang tidak betul, dianggap betul. Penulis beritahu lagi, kerana politik ada di kalangan orang parti 'sakit', bukannya 'sakit tubuh badan' tetapi sakit fikiran dan jiwa mereka.

Ada yang boleh dianggap 'sasau', 'gila', 'sewel', 'nyanyuk', 'merapu' dan macam-macam lagi. Maka daripada melayan 'penyakit' seperti ini, lebih baik penulis membangkitkan isu rakyat yang memerlukan perhatian orang politik yang tidak 'sakit' ini serta keazaman politik kerajaan. Dan ini juga bukan kali pertama penulis menyelak isu ini. Maaflah rakan-rakan di KTM Komuter kerana membangkitkan lagi cerita lama ini.

Secara kebetulan pula, jadual perkhidmatan KTM Komuter berubah lagi. Tidak pasti perubahan kali ke berapa. Tetapi yang pasti antara tujuannya adalah untuk memastikan ketepatan waktu ketibaan tren. Selama ini jadual ketibaan tren tidak memuaskan.

Menurut penulis blog berkenaan, apabila tren tiba di stesen, polis bantuan meniup wisel sana sini memberitahu penumpang supaya beri laluan dahulu. Malahan katanya, ada pegawai KTM yang meluru datang dan menjerit mengarahkan penumpang himpit ke tengah. ''Menjerit bagaikan penumpang yang berpeluh menunggu tren tiba tidak beretika dalam mencari kedudukan selesa dalam tren,'' kata penulis itu.

Beliau membangkitkan pelbagai masalah lagi termasuk tren yang tiba-tiba berhenti di atas landasan di antara stesen dan pendingin hawa yang tidak berfungsi. Kesimpulannya beliau menyifatkan khidmat komuter adalah uzur. Dan baginya menaiki komuter ke tempat kerja tidak seindah dulu. Baginya lebih baik kembali menggunakan kereta.

Berbalik kepada penjadualan semula mulai 1 November lalu, pengumuman yang dikeluarkan ialah KTM Komuter akan berlepas dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak bagi sektor berkepadatan tinggi iaitu Sungai Buloh - Kajang dan Shah Alam - KL Sentral. Manakala para penumpang Rawang, Seremban, Sentul dan Pelabuhan Klang masih boleh menikmati perjalanan dengan KTM komuter pada kekerapan 30 minit. Di luar waktu puncak pula kekerapan ialah 30 minit bagi semua sektor.

Waktu puncak yang dimaksudkan ialah antara 6.30 hingga 9.30 pagi (waktu orang ramai pergi kerja) dan 4.45 petang hingga 8.30 malam atau 9 malam (waktu pulang kerja).

Seingat penulis, pada 17 Mei 2008, penjadualan semula dilakukan dalam usaha menangani masalah kesesakan dan kelewatan tren. Mengikut jadual baru itu (2008), kekerapan tren bagi setiap 20 minit sepanjang hari dan bukan lagi 15 minit pada waktu puncak sementara kekerapan 20 minit pada waktu luar puncak. Hasrat KTM ialah dengan penjadualan semula itu ia mampu meningkatkan ketepatan waktu ketibaan tren daripada 70 peratus kepada 90 peratus.

Berbanding dengan 2008, adakah penjadualan semula 1 November 2009 sebagai pembaharuan atau satu langkah berundur ke belakang? Masa menunggu dari 15 minit kepada 20 minit dan kini 30 minit. Adakah ini pembaharuan? KTM akan memberi jawapan bahawa langkah itu bagi mengelakkan jadual ketibaan tren terjejas.

Tetapi apakah kesannya kepada penumpang? KTM harus ingat bahawa komuter bergerak di kawasan Lembah Klang - bermula di Rawang hingga Seremban dan Pelabuhan Klang - Sentul. Ia bukan perkhidmatan di kampung atau pinggir bandar antara Rawang - Ipoh atau Seremban - Gemas. Ia juga bukan perkhidmatan Ipoh - Bukit Mertajam atau Bukit Mertajam - Sungai Petani.

Di Lembah Klang, ketika ini sudah tidak ada lagi istilah waktu puncak. Warga Lembah Klang 'hidup' 24 jam. Lihatlah jalan raya utama di sekitar Kuala Lumpur dan pinggirnya. Kesesakan bukan lagi ketika orang pergi kerja atau sebaliknya. Kesesakan berlaku sepanjang masa, tidak terbatas pada waktu tertentu. Begitu juga dengan pengguna komuter.

Akibat penjadualan semula ini, tren mungkin datang tepat pada waktunya tetapi jumlah penumpang yang 'terkandas' di stesen meningkat. Bayangkan jika terlepas tren pukul 3 petang, bermakna anda perlu menunggu setengah jam lagi. Jika tren yang datang itu bagaikan sardin dalam tin dan anda tidak sanggup masuk berasak-asak di dalam koc, maka masa menunggu meningkat kepada satu jam. Itu tidak termasuk jika tren dibatalkan atau mengalami kelewatan.

Apa yang dapat diperhatikan, apabila kekerapan dikurangkan selepas waktu puncak, tren dibatalkan, maka jumlah penumpang bagi setiap perjalanan meningkat sehingga 'perut' komuter bagaikan tin sardin.

Maka tidak hairanlah sekiranya seorang pembaca baru-baru ini dalam Forum Utusan Malaysia memberitahu, beliau hanya sekali dua mendapat tempat duduk dalam perjalanan dari stesen Bangi ke KL Sentral. Itu kira nasib baik terpaksa bergayut dalam jarak yang boleh dianggap dekat sedangkan ada yang berdiri dari Seremban ke Kuala Lumpur. Jangan haraplah pelajar-pelajar atau kakitangan awam yang menggunakan perkhidmatan itu membaca buku, majalah atau surat khabar sementara tiba ke destinasi. Begitulah khidmat KTM Komuter kita.

Kadangkala timbul rasa cemburu apabila melihat ERL begitu pantas melintasi laluan berhampiran stesen Salak Selatan atau Bandar Tasek Selatan. Di dalam 'perut' ERL, tidak ada manusia yang berdiri. Mereka begitu selesa. Apakah dalam sistem pengangkutan awam juga wujud antara dua darjat - si miskin hanya layak menggunakan beca dan si kaya mengguna kereta?

Kerajaan perlu membantu KTM untuk memenuhi kehendak pengguna pengangkutan awam ini. Sudah lama kita mendengar rungutan KTM bahawa mereka kekurangan set tren. Ini punca kelemahan perkhidmatan ini. Khabarnya 2013 baru selesai. Tetapi untuk jangka pendek, apakah jalan penyelesaiannya?

Siapa prihatin masalah ini? Berapa ramai wakil rakyat yang peka?

Baru-baru ini, seorang wakil rakyat membangkitkan isu Syarikat Prasarana Sdn. Bhd. yang mengambil alih Rapid KL dan Rapid Penang. Kerajaan dikatakan mahu 'menyelamatkan' syarikat yang dikatakan rugi.

Tetapi sebenarnya, ia bukan untuk menyelamatkan syarikat sebaliknya bagi memastikan operasi pengangkutan awam berjalan lancar. Memang syarikat bas Rapid tidak akan mencatatkan keuntungan. Apa tidaknya tambang RM2 boleh pergi ke mana sahaja sehari semalam. Begitu murahnya hati kerajaan ketika itu. Tetapi kini keadaan sudah berubah. Tiada lagi tambang RM2 sehari semalam.

Jika kerajaan boleh membantu Rapid KL dan Rapid Penang, kenapa tidak dalam isu KTM Komuter ini? Janganlah membiarkan pengguna komuter melepaskan geram terhadap kerajaan dalam pilihan raya umum.

Ya...mereka mungkin 'cari makan' di Lembah Klang, bukannya pengundi. Tetapi mereka boleh menterjemahkan kegelisahan saban hari untuk ke tempat kerja melalui ibu bapa, saudara mara atau sahabat handai di kampung tidak kira di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Kuala Terengganu atau di mana sahaja!


Itu rencana yang ditulis oleh wartawan Utusan.....Ini saya nak sambung balik kisah saya yang terjadi pukul 4 petang tadi.

4.18 petang saya tiba di hentian Madvaly. Saya melihat skerin jadual komuter menunjukan train ke Seremban akan tiba pukul 4.33 petang. Saya yakin dengan jadual itu. Namun tepat pukul 4.30 petang, petugas KTM mengumumkan train ke Seremban berlaku kelewatan. Train berada di hentian Segambut.

4.36 petang pengumuman diberikan lagi, train berlaku kelewatan dan berada di hentian Putra.

Akhirnya pukul 4.55 petang saya melihat train komuter ke Seremban telah tiba. Sebelum itu train ke Kajang telah datang terlebih dahulu.

Masalah bagi saya ialah pukul 5 petang ada satu perjumpaan dengan Ketua Pusat Kebudayaan UKM.

Selepas itu komuter meneruskan perjalanannya tanpa menghadapi sebarang masalah. Akhirnya saya tiba di hentian UKM tepat pukul 5.26 petang. Apa sudah jadi? Ini bermakna saya sudah menggunakan (membazir ?) masa 1 jam!

Sebenarnya saya setiap hari merasai masalah penumpang komuter kerana isteri saya menggunakan komuter. Malahan hampir setiap hari dia menceritakan masalah yang timbul.

Ada sekali tu anak saya yang pulang dari kolej menelefon train rosak di Serdang (dekat UPM). Kira-kira satu jam setengah saya menunggu dia di hentian UKM.

Seperti rencana Utusan diatas, saya fikir sesuatu perlu dilakukan untuk keselesaan semuan penumpang. Ingat penumpang komuter bukan orang-orang yang pergi makan angin atau membeli belah di KL. Mereka adalah penjawat awam, kakitangan swasta yang menjana pendapatan negara, memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Jumlah mereka bukan sedikit. Mereka perlu diberikan suntikan semangat dengan menyediakan perkhidmatan yang pantas lagi selesa.

Andai kata kelewatan sering berlaku sudah pasti perkhidmatan yang diberikan oleh mereka akan merosot. Namun saya faham KTM telah melakukan sebaik mungkin. Contoh petang tadi KTM telah menyediakan koc-koc tambahan. Bukan koc biasa tetapi gerabak keretapi biasa yang digunakan untuk perjalanan jauh. Perkhidmatan tersebut ialah untuk ke Kajang.

Usaha KTM melancarkan komuter ke Ipoh satu usaha murni untuk melancarkan lagi industri pelancongan. Namun stesen-stesen sedia ada harus diberikan perhatian. Bayangkanlah antara laluan penting dari KL ke Seremban, komuter melalui Bandar Tasik Selatan, satu laluan penting pertukaran ke LRT dan Train Laju ke KLIA. Bayang kalau krew kapal terbang yang terlewat ke KLIA? Serdang merupakan perhentian yang terkenal bagi pelajar UPM. Kajang juga mempunyai penumpang yang ramai. Hentian UKM juga terkenal untuk pelajar UKM.

Saya percaya KTM juga tidak mahu mengambil resiko mengenai keselamatan penumpangnya. Peningkatan penumpang menyebabkan komuter tidak boleh dipandu laju. Contoh petang tadi, saya agak cemas apabila komuter melalui laluan Serdang ke Kajang dengan laju. Apa akan jadi kalau terjadi kemalangan?

Komuter laluan lain juga KTM perlu fikirkan. Contoh ke Klang. Laluan tersebut saya fikir ada juga masalahnya.

Mahu tidak mahu saya hanya ingin mencadangkan "Kasihan penumpang komuter" perlu diutamakan kerana bukan pergi ke mana-mana distinasi bukan untuk makan angin, tetapi keluar mencari makan....

5 ulasan:

  1. apa yang ditulis ini adalah sangat benar.. saya yang dah hampir 5 tahun menaiki komuter dari KL ke UKM memang perlu bersabar dengan tahap kesabaran yang sangat tinggi.. Sangat menguji kesabaran lebih-lebih lagi apabila sekarang selalu dan sangat-sangat kerap jadual perjalanan tidak diikuti.. Selalu sangat-sangat berlaku kelewatan yang bukan seminit dua.. tetapi lebih dari 10 atau 20 minit... Aduan demi aduan dibuat, tetapi itu hanya picisan mungkin bagi pihak pentadbiran KTM kerana tiada tindakan yang sewajarnya kelihatan diambil... rata-rata, kebanyakkan pengguna Komuter sangat-sangat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan tren komuter yang kebanyakkannya tidak menepati masa dan sering berlaku kelewatan. Tetapi apa kan daya kami yang tetap perlu menggunakan perkhidmatan tren ini untuk ke tempat kerja setiap hari... Mungkin perlu ada cadangan supaya STAR atau PUTRA LRT dipanjangkan laluannya sehingga ke Srermban kerana sehingga kini, tidak banyak masalah dengan perkhidmatan PUTRA atau STAR LRT.

    BalasPadam
  2. Sejak 1 Navember lalu lagi teruk jadual komuter. Kalau sebelum 1 Nov isteri saya tiba di stesen UKM pukul 6.30, sekarang pukul 7. malam. Pergi Subuh balik Maqrib. Apa nak jadi KTM? Macamana nak bagi keselesaan kemudahan awam!

    BalasPadam
  3. Ini berita terbaru yang saya petik dari laman web KTM http://www.ktmb.com.my/Story.aspx?Id=3275

    KTM Komuter - 15 Minutes Frequency

    DEAR VALUED PASSENGERS,

    BEGINNING NOVEMBER 01, 2009, KTM KOMUTER WILL BE OPERATING WITH A 15-MINUTE FREQUENCY DURING PEAK HOURS FOR THE BUSY SECTORS OF SG BULOH – KAJANG AND SHAH ALAM – SENTRAL KUALA LUMPUR.

    PASSENGERS FROM RAWANG, SEREMBAN, SENTUL, AND PELABUHAN KLANG MEANWHILE, CAN STILL ENJOY HASSLE-FREE TRAVEL ONBOARD KTM KOMUTER AT 30 MINUTES INTERVAL.

    KTM KOMUTER WILL OPERATE AT 30 MINUTES INTERVAL DURING OFF PEAK FOR ALL SECTORS.

    FOR INFO, PLEASE CONTACT KTMB CALL CENTER AT 03-22671200 OR THE NEAREST STATION





    PARA PENUMPANG YANG DIHARGAI,


    MULAI 1 NOVEMBER 2009, KTM KOMUTER AKAN BEROPERASI DENGAN KEKERAPAN 15 MINIT PADA WAKTU PUNCAK BAGI SEKTOR BERKEPADATAN TINGGI SG BULOH – KAJANG DAN SHAH ALAM – SENTRAL KUALA LUMPUR.

    SEMENTARA ITU, PARA PENUMPANG DARI RAWANG, SEREMBAN, SENTUL, DAN PELABUHAN KLANG MASIH BOLEH MENIKMATI PERJALANAN DENGAN KTM KOMUTER PADA KEKERAPAN 30 MINIT.

    KTM KOMUTER AKAN BEROPERASI DENGAN KEKERAPAN 30 MINIT DI LUAR WAKTU PUNCAK BAGI SEMUA SEKTOR.

    UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI PUSAT PANGGILAN KTMB DI 03-22671200 ATAU STESEN TERDEKAT


    Komen saya: Perubahan yang tidak memberikan faedah kepada penumpang....................

    BalasPadam
  4. Alangkah indah kalau train kita laju dan tidak lewat

    BalasPadam
  5. Komuter dari KLS ke Seremban tolong la perbanyakkan terutama pada waktu puncak. At least 10min satu. Perhidmatan boleh diabaiki lagi.

    BalasPadam