27 September 2009

SMS di Hari Raya

4 Syawal 1430, pukul 10 pagi 23 September 2009 setelah saya selesai mendaftar diri di sebuah klinik di Jalan Bakri Muar untuk bertemu Doktor kerana mengidap demam selesema telefon bimbit saya memberi isyarat satu pesanan ringkas (SMS) telah masuk.

“Assalamualaikum. Bapa saya telah kembali ke rahmatullah pg (pagi) ni d (di) Baling, Kedah” Ismail Ibrahim.

Sebelum ini pada malam Hari Raya Aidilfitri telefon saya tidak berhenti-henti menerima SMS ucapan Selamat Hari Raya daripada lebih kurang seratus empat puluh orang rakan-rakan. SMS itu diterima setelah saya mengirim SMS mengucapkan selamat hari raya kepada mereka. Sebab itulah saya menerima balasan daripada rakan-rakan sejumlah tadi.

Begitulah kesan SMS dalam kehidupan saya dan mungkin juga oleh orang lain. Jikalau zaman menggunakan kad ucapan, tidaklah sebanyak itu yang saya terima. Namun harus kita ingat ucapan menerusi SMS itu bukanlah daripada orang-orang yang jauh. Mereka adalah dari kalangan rakan-rakan sepejabat atau sama-sama berada di kampus UKM. Ada juga yang setiap hari saya bertemu. Namun apabila menerima balasan saya dapat mentafsirkan nilai seorang kawan atau sahabat. Rupa-rupanya saya tidak dilupakan biarpun mereka sedang dikelilingi sanak dan saudara.

Menilai balasan SMS dari berbagai sudut. Mungkin kita boleh menilai bagaimana hati seorang rakan yang hanya membalas “ OK”, “Terima kasih”, “Sama-sama”, atau “ Terima kasih Raai kerana masih ingat kat saya di Hari Raya ini, salam kemaafan daripada saya dan keluarga”

Namun paling saya tidak dapat lupakan di malam raya itu, saya menerima panggilan daripada seorang sahabat lama yang sudah lebih dua puluh tahun tidak bertemu. Beliau tidak membalas SMS, tetapi terus memperdengarkan suaranya sebagai balasan SMS saya.

Menilai SMS juga boleh lebih jauh apabila menerima dari seorang rakan yang sudah terputus hubungan setelah nombor telefonnya telah bertukar. Hampir empat tahun saya tidak pernah berkomunikasi dengan sahabat ini, dengan rahmat Allah di malam raya saya dipertemukan olehNya dengan perkataan.

Sebab utama saya menulis di sini mengenai SMS ialah mengenai peranannya sebagai penyambung silatulrahim. Pada saya, biarlah dengan ucapan memohon dan memberikan kemaafan cara begini memungkinkan kita melahirkan keikhlasan yang tulin. Kerana jikalau tidak tulin atau ikhlas masakan mereka sanggup membalas SMS kita dalam keadaan sibuk melayan keluarga di malam raya.

6 Syawal 1430 bersamaan 25 September 2009 saya diberitahu oleh Haji Khairi (suami kepada sepupu isteri saya) bahawa Abang Tahir (suami kepada kak Midah-sepupu isteri saya) telah kembali ke rahmatullah pada pagi 1 Sayawal…..Berita ini disampaikan oleh Haji Khairi ketika datang menziarahi saya di rumah kami. Perkhabaran ini amat mengejut saya dan isteri kerana sudah hampir seminggu baru tahu.

Rupa-rupanya ada waktunya SMS tidak berperanan ketika seseorang itu dalam kelam kabut, sedih menghadapi peristiwa pilu. Namun kami telah dapat menziarahi Kak Midah di Ampang hari Sabtu 26 September di Ampang. Menziarahi seorang balu yang telah kematian suami ketika takbir raya sedang berkumandang amat memilukan.

Justeru itu ingatlah pesanan orang alim “adakah kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang?”. Paling memilukan “mungkin Ramadan 1430 adalah yang terakhir buat kita!”.

Tiada ulasan:

Cara-Cara Nak Keluar Masuk Wang Tabung Haji Dengan CIMB Click

  Sejak PKP 1.0 hingga 3.0 urusan nak keluar dan masuk wang ke Tabung Haji menjadi susah. Mana taknya berbaris satu hal, ada masanya TH tutu...