Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M


Penguatkuasaan undang-undang mampu menghalang
pemandu yang degil.

Kenderaan berat adalah raja di lebuhraya?

Isteri dan Kakak Ipar menziarahi pusara bonda mereka


Kakak Ipar (bertudung merah) bersama keluarga saya


Ayam Golek Razi Kluang

Seperti tahun –tahun sebelum ini saya merayakan Hari Raya Aidilfitri di Muar. Beraya di rumah kakak ipar yang sulung seperti beraya di rumah ibu ayah sendiri kerana rumahnya tiada siapa. Dia tidak mempunyai anak setelah berkahwin sepuluh tahun dengan arwah Haji Yusof. Saya adalah adik ipar yang akan berada di rumahnya setiap malam raya.

Rahmat Allah katakan, tahun ini kakak ipar saya sihat dan dapatlah dia pergi bersolat Hari Raya Aidilfitri dan menziarahi pusara ayah dan bondanya. Isteri saya sering berkata, “Kak Longlah penganti Mak”.

Di malam raya kami tidak banyak memasak juadah raya kerana hari raya pertama saya dan keluarga perlu ke Kluang. Di Kluang saya pada lazimnya akan bermalam selama dua malam di rumah kakak di Kampung Seri Tambak, Jalan Mersing, Kluang, Johor. Kakak saya hanya seorang tinggal bersama suaminya abang Ahmad yang sudah lebih 30 tahun menetap di Kluang. Sebelum bersara, kakak dan abang Mad bekerja di Ladang PAMOL. Rezekinya ada maka hasil penat lelahnya dia kini tinggal di sebidang tanah di pinggir Penjara Kluang.

Tahun ini saya diberitahu oleh abang Mad, dia kini ada sedikit rezeki hasil menjadi Guru Quran di Masjid Penjara Kluang. Ketika tiba pada malam hari raya pertama saya menyerahkan kain pelikat yang dibeli ketika bertugas di Langkawi kepada abang Mad. Yalah itulah abang ipar saya. Hanya seorang. Hasil berkahwin dengan kakak saya mereka dikurniakan tiga orang putera, Razi kini menjadi usahawan ayam percik. Sukri bekerja di sebuah ladang kelapa sawit yang terkenal (Sime Darby), Sabri bekerja dengan sebuah syarikat swasta.

Hajat Razi tertunai apabila pada hari raya ketiga dia menghidangkan ayam golek buat kami sekelurga semasa makan tengahari di rumahnya. Tahun ini juga hajat saya untuk bertandang ke rumah mertuanya di Kampung Melayu Chamek, Kluang tertunai.

Keadaan tertekan kerana masalah ekonomi yang menyebabkan Razi berhenti Kerja di sebuah kilang, yang akhirnya mengambil langkah membuka perniagaan ayam golek. Rezekinya begitu lumayan setelah dia berniaga selama dua puluh lapan hari sepanjang bulan Ramadan. Seekor ayam golek harganya RM16. Kini dia lebih selesa menjadi usahawan ayam golek.

Coretan saya diatas merupakan beberapa coretan yang biasa kita temui di mana-mana. Mungkin ia adalah perkara biasa bagi semua orang. Namun bagi saya ia merupakan suatu kuliah percuma untuk anak-anak yang ikut beraya di rumah keluarga. Apa yang kita lihat dan dengar semasa beraya tidak diajar di bilik-bilik darjah atau kuliah. Sambil memandu saya sering memberitahu anak-anak bahawa itu realiti kehidupan yang harus kita lihat dan dengar.

Kakak ipar saya seorang balu kematian suami tanpa anak. Abang ipar saya seorang warga emas yang memilik ilmu Allah yang akhirnya menerima imbuhan hasil kebolehannya mengajar Quran. Razi anak saudara saya yang menghadapi tekanan hidup setelah berhenti Kerja di kilang, akhirnya berjaya menanggok rezeki Allah hasil titik peluhnya.

Kita tidak pernah tahu seandainya tidak mendedahkan masalah masyarakat kepada anak-anak menerusi pengalaman keluarga sendiri. Jikalau hanya melihat orang luar yang bukan keluarga mungkin agak payah untuk memahami masalah orang lain.

Program hari raya saya akan berakhir di Segamat di rumah adik isteri. Taman Pelangi Segamat merupakan destinasi akhir saya. Hari Rabu merupakan hari raya keempat saya dan keluarga ke Segamat menerusi Jalan Bukit Kepong. Kami melalui jalan yang pernah ditenggelami air semasa banjir besar pada tahun 2006 dan 2007. Cuaca panas. Namun mata saya tergambar air banjir setinggi 3 meter menggerunkan saya!

Malam itu saya bermalam di rumah adik ipar. Secara jujurnya inilah kali pertama saya bermalam di rumah adik ipar selepas banjir besar melanda Segamat pada tahun 2006 dan 2007. Saya masih gerun dengan banjir yang pernah dilihat di dalam gambar dan video simpanan saya. Untuk melihat laporan kesan banjir lihat pautan berikut [sila klik].

Ketika dalam perjalanan pulang ke Bangi saya dan keluarga sempat bertandang di rumah Kak Zainab balu haji Othman Ghani rakan lama saya semasa beliau berkhidmat di UKM. Kak Zainab agak terkejut dengan kehadiran kami. Beliau menjangkakan kami telah melupainya setelah kematian suaminya. Pertama kali ketika menziarahi kak Zainab saya bertemu dengan anaknya yang sering disebut –sebut oleh arwah Hj. Othman. Anaknya Muzafar pernah menjadi Juruterbang TUDM, kini menjadi juruterbang syarikat penerbangan komersial yang membawa petugas pelantar minyak di Terengganu.

Diakhir catatan ini saya ingin melahirkan perasaan kesal, sedih dengan sikap pemandu yang memandu secara tidak bersopan. Pada hemat saya pemandu-pemandu seperti inilah yang menyebabkan kempen mencegah kemalangan jalanraya gagal! Saya mengalami satu situasi di Jalan Gemas ke Gemenceh apabila sebuah kereta Proton Wira memotong sebanyak hampir sepuluh buah termasuk sebuah lori panjang. Semasa pemandu ini memotong dia hampir bertembung dengan saya . Walaupun saya sudah memberi lampu tinggi (waktu siang) namun pemandu itu masih memotong barisan kenderaan. Mujur saya masih ada ruang untuk mengelak di lorong kecemasan. Bayangkan jikalau tepi jalan terdapat motosikal, basikal atau pejalan kaki? Sukar untuk saya mengambarkan apa yang akan berlaku!

Apabila saya memikirkan usaha yang saya lakukan dengan bersolat hajat dan berdoa semasa bulan Ramadan memungkinkan Allah telah menyelamatkan saya dari suatu bencana. Jikalau takdir Allah menentukan saya dan keluarga di situ apakah riwayat kami? Mungkin anda yang telah melakukan insiden seumpama ini saya merayu insaflah kalian. Kasihanilah kami jika menjadi mangsa awak!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah