26 Mei 2009

Merakam sejarah gemilang UKM

Tiga puluh tahun lalu saya tidak pernah terfikir untuk menjadi perakam sejarah hebat. Semasa UKM mula ditubuhkan saya hanya pelajar sekolah menengah. Saya tidak pernah terfikir 30 tahun kemudian saya adalah salah seorang perakam sejarah gemilang UKM. Universiti yang menduduki tempat kedua di Malaysia tahun ini!

Pukul 1 petang saya, Ismail menyusuri Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban dengan kereta yang dipandu oleh Bos, (Ketua Pusat Penerbitan dan Percetakan UKM) Prof. Dr. Kamaruddin M. Said, untuk menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Canselor UKM Ketiga kepada Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir oleh Yg. Bhg. Naib Canselor, Prof Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Istana Hinggap Seremban, Darul Khusus.

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Canselor UKM Ke-3 berlangsung dalam suasana sederhana selepas penyampaian watikah kami jurufoto beredar keluar dari Bilik Mengadap Istana Hinggap. Namun saya dan Hj Ismail masih menunggu di luar sehingga selesai majlis mengadap oleh Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan UKM.

Seteleh selesai majlis mengadap saya, Hj Ismail dan Prof. Kamaruddin meneruskan sesi fotografi potret Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz untuk kegunaan rasmi di UKM. Tuanku mudah mesra, malah amat mudah memberikan kerjasama kepada kami.

Dalam perjalanan pulang ke Bangi, Prof. Kamaruddin memberitahu Kebawah Duli Tuanku menaruh minat yang besar perkembangan UKM. Semoga dengan pelantikan Canselor Ketiga ini akan menjadi peniup semangat untuk menaikkan lagi kegemilangan UKM.

Biar apapun saya melahirkan perasaan lega kerana sesi fotografi kami berlangsung dengan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada semua pegawai di Istana Hinggap yang telah membantu memudahkan sesi fotografi bersama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cara jaga kamera

Sila klik  dan tonton video