Ceramah: Saya Jurufoto Makan Gaji

Saya akan mengadakan satu ceramah yang bertajuk: Saya Jurufoto makan gaji pada 19 Januari 2018. Penganjur: Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM. Ceramah ini akan membicara bagaimana saya melalui detik-detik kehidupan dalam kerjaya sebagai Jurufoto dengan memperolehi kehidupan yang damai dan selesa walaupun tidak berpangkat besar. Ceramah ini diadakan menjelang persaraan saya pada April 2018.

Kepada yang berminat sila hubungi saya di emel: raaios@yahoo.com

21 April 2009

Fotografi: Hobi dan kerjaya saya


Sejak tahun 1997 saya mengajar pelajar UKM setiap
hari Sabtu. Biarpun mereka membawa banyak
kerenah dan meletihkan, namun setelah mereka tamat
dihujung akhir semester saya menjadi sunyi. Apa tidaknya
hari Sabtu saya tidak bertemu mereka lagi.


Sekitar 30 tahun dahulu, bidang fotografi hanya diceburi oleh orang kaya-kaya. Justeru semasa saya membuat keputusan mengikuti kursus fotografi di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (dah tak ada...kini tenggelam kerana dibina Empangan Peretak. Sesiapa melalui empangan tersebut untuk ke Bukit Fraser dapat melihat kawasannya)ramai yang beranggapan saya hanya membazir masa dan wang sahaja.

Memang benar dakwaan itu kerana ketika itu fotografi menggunakan filem. Kami jurufoto tidak termimpi tentang digital. Komputer belum ada, Photoshop belum ada. Seksa mengenangkan zaman mula-mula menceburi bidang ini. Filem pula, belum lagi warna. Jikalau menggunakan filem maka masih hebat. Kebanyakkan orang masih memperolehi gambar dalam sifat hitam putih. Ketika itu sesiapa yang mengambil gambar dan tidak mahir memeroses filem belum boleh mendakwa sebagai Jurufoto (apa saja istilah yang seumpama itu: Photographer,Cameramen, Jurugambar; ahhh orang kampung masih guna panggilan Tukang Gambar).

Untuk menjadi Jurufoto kena belajar dengan bersungguh-sungguh. ASFON (Angkatan Seni Foto Nasional) antara pertubuhan yang aktif menganjurkan kegiatan untuk orang-orang melayu.

Nama-nama seperti Hamzah Hurmin (NST),Salleh Osman (NST), Ariff Azahari (NST), Raja Harun Redzuan (Usahawan Foto), Reduan Ahmad (Usahawan/Utusan Melayu), Ibrahim (Muzium Negara, merupakan orang-orang yang pernah menjadi guru-guru kepada ramai anak-anak melayu yang berminat untuk menjadikan fotografi sebagai hobi dan kerjaya.

Ada diantara mereka antara guru-guru saya. Tetapi guru yang paling awal sudah pastinya Cikgu Majid dan Cikgu Haidar di Peretak. Kami belajar dalam keadaan penuh seksa. Pernah kena marah,perli dan sebagainya.

Setelah saya berjaya dengan cemerlang di Peretak pada tahun 1977 tahun 1979 saya menjadi warga UKM sehingga kini (dah 30 tahun). Guru saya yang seterusnya ialah Dr. Mohamed Omar,Hj. Khalil,Hj Jalil.

Namun jangan lupa, semua yang menajdi rakan-rakan saya dalam sejawatan seperti, Saliman, Hj Mail,Hasnan dan beberapa orang lain juga adalag guru saya. Guru yang mengajar secara tidak langsung ketika kami menghadapi masalah.Terbaru guru saya ialah Prof. Dr. Kamarudin M.Said (bos saya) dan Dr. Arif ismail (sama-sama mengajar di TEA UKM Holding).

Saya pernah berpeluang bersama Mansor Putih (pengkritik filem yang terkenal) ketika membantunya memeroses filem dan mencetak gambar hitam putih dalam dark room. Waktu itu beliau belum terkenal, baru balik belajar dari luar negara.

Begitu susahnya untuk menjadi Jurufoto waktu itu. Antara buku yang pernah saya baca ialah siri Life Labrary of Photography kepunyaan Dr.Mohamed Omar (mantan Prof di UKM). Majalah yang terkenal waktu itu ialah, U and Your Camera.

Majalah tersebut begitu lengkap. Malahan saya belum terjumpa majalah sehebat itu semasa zaman fotografi analog. Di zaman digital saya dapati majalah Digital Camera mengisi peranan U and Your Camera. Pengisiannya mirip majalah tersebut dan begitu profesional. Murah dan berkesan cara pengajarannya.

Tahun 1997 saya terlibat dalam mengajar pelajar-pelajar UKM kursus wajib Seni Foto program Kokurikulum hingga kini. Tahun 2005 hingga kini saya terlibat menjadi penceramah di UKM Holding.

Semua ini mencabar minda saya. Letih juga mengejar perkembangan teknologi fotografi. Ingatkan dihujung-hujung perkhidmatan di UKM boleh relek. Kerja, makan tidur. Tidak-tidak perkara ini tidak menjadi kenyataan kerana saya harus mengejar ilmu. Ilmu fotografi tidak statik.

Dahulu sebelum digital datang dalam dunia fotografi sekitar awal tahun 1990an, kami tidak perlu belajar komputer. Kini perlu belajar dan memahirkan diri dalam beberapa perisian seperti PhotoShop, membangunkan laman web dan blog, Power Point.

Tahun 1999 saya telah melancarkan sebuah laman web iaitu Alam Senifoto. Ramai penggemar fotografi berkunjung ke laman tersebut. Saya rasa ianya bukan syok sendiri tetapi hasil rating yang saya buat laman tersebut menerima kunjungan yang tinggi. Ramai rupanya yang ingin menjadi Jurufoto. Sehingga hari ini saya dapati sudah seramai 26,833 pengunjung laman web tersebut. Setiap hari saya menerima ramai orang yang ingin mengetahui berbagai masalah menerusi emel. Forum yang saya bangun juga menerima respon yang mengalakkan.

Kini, saya bersyukur Alam Seni Foto biarpun hanya membicarakan fotografi analog, sudah kurang dikunjungi pelawat, sudah wujud berbagai laman web dan blog di laman maya. Terima kasih kepada adik-adik yang mengikut jejak saya. Anda tidak tidak lokek ilmu. Malahan dengan pengajian yang mereka ada pengisian untuk memberikan panduan kepada peminat fotografi lebih mantap.

Cuma andainya anda yang ingin mempelajari ilmu ilmu yang mereka ada harus membayar dengan kos yang munasabah kerana keringat mereka bukan boleh diperolehi secara percuma.

Saya hendak kemana? Mudah sahaja, fotografi adalah hobi saya, fotografi adalah kerjaya saya. Saya melihat bangunnya orang-orang melayu dalam bidang ini membuatkan dunia ini meriah. ramai anak-anak muda yang menceburi bidang ini untuk cari makan secara full time mahupun partime.

Paling membanggakan saya ada dikalangan yang menjadi pengunjung Alam Seni Foto menjadi serius dalam jurusan ini. Bakat kita ada, kemahuan kita ada, usaha kita ada. Maka usah sesiakan anugerah Allah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan