Berakhir sebuah kehidupan

Pengalaman selalunya mengajar kita erti sebuah kehidupan. Bermula 4 Disember 2004 telah mengukir satu lagi pengalaman baru buat saya.

Semasa isteri memberitahu saya emaknya jatuh di bilik air satu igauan telah menerjah ke benak saya. Isteri saya agak cemas kerana pesanan SMS dari adiknya mengatakan emaknya patah kaki. Saya telah mengulang membaca sekali lagi. Bukan kaki yang patah, tapi tangan emaknya yang patah

4 Disember 2004

Kami tiba di Segamat. Malam itu isteri saya tidur disebelah emaknya. Sampai pagi emaknya tidak selesa tidur kerana badannya yang besar menyulitkan tidurnya. Tangan emaknya sakit sekali.Dia tidak "koma" seperti kebiasaan berlaku pada orang seusianya (74 tahun) apabila terjatuh di bilik air.Syukur fikir saya.

Oleh kerana hari Isnin kena bertugas, petang Ahad kami pulang ke Bangi.

Bisik saya "pada diri saya"; semasa emak saya sakit Leukimia 13 tahun dulu isteri begitu setia menjaga emak saya, jadi masakan sekarang saya tidak boleh membalasnya?

Petang 18 Disember selepas selesai kerja kursus Ko-Korikulum kami bertolak ke Segamat. Tapi kali ini emak mertua saya kurang mengerang. Fikir saya, mungkin dia sudah kurang mengalami kesakitan. Menurut En. Arshad (Pusat Kesihatan UKM), jika pihak hospital hanya meletakkan kayu pada tangan ia cuma retak sahaja. Bukan patah!

Jam 6 petang sebelum kami balik ke Bangi, aku memegang tapak tangan ibu mertua sambil berkata, "Mak..., Raai nak balik ni,nanti bila ada masa Raai datang lagi yerr...?" Dia tidak menoleh seperti biasa. Aku menepuk-nepuk tapak tangan dia bagaikan menepuk tangan seorang anak kecil.

Dalam perjalanan isteriku berkata "kebetulan masa ada, walaupun jauh dapat juga jumpa emak. Minggu depan belum tentu lagi..."

"Ahh, kalau nak jumpa juga apa salahnya..." balasku. Isteri saya terdiam.

26 Disember 2004

Jam 8 pagi saya dan keluarga telah bertolak ke Segamat. Setiba di Segamat (rumah adik iparku), Ana (anak adik ipar saya) memberitahu "atuk demam hari ni".

Ana seorang anak yang baik.Cucu kesayangan emak mertua saya. Dia yang menguruskan Atuknya. Membersihkan badan dan bahagian "anggota penting". baru lepas SPM, dan telah tamat siri Program Latihan Khidmat Negara musim 2004. Mungkin hasil program PLKN menjadikan dia seorang cucu yang bertanggungjawab. Pada saya PLKN telah berjaya melahirkan seorang warga berguna. Paling tidak untuk seorang nenek seperti emak mertua saya!!!!! Saya harus "tabik" dengan Ana.

Emak mertua saya tidak mahu makan, minum dan makan ubat. Sampai petang isteri saya anak saudara dia menangis. Tapi emak mertuaku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kebetulan hari itu adik ipar saya ke Merlimau kerana jemputan kawin. Mungkin dia tidak terfikir kejadian tertentu akan berlaku pada emaknya.

Walaupun tanda-tanda nazak emak mertua saya sudah ada tapi saya masih belum rela untuk memberitahu sesiapa...Saya terfikir mungkinkah sudah tiba masanya.

26 Disember 2004

Segala-galanya mengukir sejarah. Emak mertua saya langsung tidak mahu bersuara. Jam 3 pagi saya bangun bersolat Hajat. Selepas itu saya membaca ayat-ayat yang menjadi amalan selama ini, Fatihah dan Ayat Kursi. Solat Subuh saya ke surau berjemaah dengan isteri. Kami minta Allah tentukan rahmatnya untuk emak mertua dan keluarga isteri saya.

Jam 10 pagi saya lihat emak mertua semakin tenat.Saya periksa tekanan darah dia, saya minta isteri letakkan air kat bibir dia. Kemudian saya berbisik pada emak mertua mohon maaf segala kesalahan anak menantunya. Tapi dia terus membisu.

Ahhh ini satu takdir Allah mungkin berlaku; fikir saya. Tanda-tanda kematian sudah banyak saya rasakan pada emak mertua. Kebetulan dalam ruangan soaljawab Dr. Amran Kasimin Mingguan Malaysia pada hari itu juga ada membicarakan tanda-tanda sakaratulmaut..Tapi itu kuasa Allah saya tak mahu meramal! Selepas itu saya membaca Surah Yassin

Jam 3.15 petang, sedang saya di kedai biras di Jalan Aji Segamat, isteri menelefon suruh balik tengok emaknya.

Sesampai aku di rumah adik ipar, aku periksa keadaan emak mertua, dan saya mengucapkan doa "Innalillah hiwainna Ilaihirojiuun"

Meraung Ana tidak boleh terima Atuk dia telah meninggal. Adik dan Kakak Iparku begitu. Aku berani mengesahkan kerana pengalaman aku menguruskan kematian hamba Allah bukanlah emak mertua ku orang pertama tapi sudah beberapa orang sebelum ini termasuk ayah,emak,ayah angkat dan emak angkat saya. Kali ini saya menguruskan seorang emak yang juga tidak membatalkan air sembahyang, Emak Mertua. Namun kerana Ana masih tidak percaya, saya buka kembali muka Atuk dia sehinggalah Ambulans tiba bersama Pembantu Perubatan mengesahkan kematian emak mertua saya.

Ana meraung masuk ke bilik aku terus mengawal perasaan dia. Dengan segelas air Ana berjaya dipujuk. Selang 3 minit dia meraung lagi sambil menghempas gelas!! Iman Ana perlu saya bendung. Dia menemui satu noktah akhir kehidupan Atuk. Dia kesal tak sempat memohon ampun. Bayangkan dia seorang cucu yang mengurus kencing berak Atuknya, oh Tuhan Maha Agung itulah cucu yang menjadi belaan Emak mertua saya dulu.

Fikir saya siapa boleh jadi seperti dia? Episod kehidupan seorang Nenek telah tamat!!

Namun saya kagum dengan isteri saya dia hanya kelihatan mempamerkan hidung yang merah saya. tidak meraung. Sebab telah saya tazkirah dari kematian emak saya lagi, jangan meratap kematian. Berdosa. Isteri saya sendiri akhirnya mengakui dia terasa bertuah kematian emaknya di sisinya. Sedangkan jika difikir logik kami antara anak menantu yang berada jauh di Bangi. Tapi kuasa Allah dia memberi rahmat untuk isteri saya.

27 Disember 2004

Sewaktu mengali kubur, sepupu isteriku Abang Zul memberitahu ramai yang mati di Aceh,Sri Langka, Phuket, dan Malaysia aku tidak menghiraukan langsung kerana semalaman aku tidak mendengar radio dan menonton TV.

Jam 5 petang selepas solat Asar, aku keluar ke Bandar Muar.Kelu lidahku apabila menatap akhbar yang masih tinggal sisa di kedai. Dua jenis akhbar aku beli. Tanjung Mas Muar yang tenang dengan Air Sungai Muar menjadi tempat aku menatap berita ombak Tsunami.

Air mata keluar tanpa dipaksa bila membaca berita seorang ayah kehilangan 5 anak ditelan ombak didepan mata!!Rumah ranap, semua harta benda ranap.

Ahhh dari 26 Disember hingga kini air mata tetap tergenang bila melihat anak yatim, isteri jadi janda, suami jadi duda.

"Ohhh amat dahsyat malapetaka Tsunami!!"

Namun harus kita ingat rahmat Allah tetap ada. Kita hidup masih datang membantu.

Bisik saya pada isteri, "(s....g) masih bertuah emak meninggal dalam sakit biasa. Allah ambil nyawanya dalam berbaring. Walau emak pergi, tapi kakak, abang,adik masih adik tempat bermanja. Mereka di Aceh, ada anak hilang Ibu, ada Ayah hilang Anak, ada Isteri hilang suami. Paling menyayat hati, anak ditelan arus didepan mata. Isteri ditelan arus tanpa dapat dibantu"

Pada saya kita harus bersedih, tetapi kita wajib membantu, kerana itu adalah Fardu Kifayah buat Umat Islam. Tiada yang kekal kecuali Allah.

*Alfatihah buat emak mertua saya; Hanifah bte Endut dan Mangsa-mangsa Tsunami (muslimin & muslimat) di mana saja. Mereka telah pergi yang tinggal kita perlu menyambung hidup untuk kehidupan dan keamanan sejagat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah