25 Jun 2022

Lihatlah Dunia Ini Masih Indah


 
1. Seorang lelaki Cina menolak kerusi roda dengan tenaga yang minimum masuk ke bilik doktor. Seorang doktor muda memegang daun pintu agar memudahkan lelaki Cina itu menolak isterinya. Rasanya semasa muda lelaki ini bukan sebarangan orang sebab fasih berbahasa Inggeris.

2. Seorang wanita muda memberi laluan kepada seorang wanita wargamas. Wanita muda ini kemudian menolak kerusi roda wanita itu walaupun dia bukan ibunya. "Anak pergi sekolah ada urusan" itu dailog wanita wargamas itu kepada wanita muda tadi.

3. Di satu sudut saya lihat seorang wanita Indonesia membantu menyuap makanan kepada seorang wanita. Layanannya bagai seorang anak kepada seorang ibu.

4. Di lobi hospital seorang anak muda menurunkan kerusi roda dan kemudian seorang wanita bertongkat menaiki kereta roda letrik menuju ke klinik seorang diri. Sudah pasti anak muda tadi adalah pemandu Grab.

5. Saya menyusuri lorong ada masa sesak ada masa legang. Sekarang saya pakai tongkat agar orang lain perasan saya seorang pesakit dan memberi jalan ketika sesak.

Ini senario yang saya lihat dan alami ketika ke hospital. Ada masa saya lihat ada yang datang menghantar ibu atau ayah secara ramai-ramai. Mungkin mereka risau ibu ayah terjadi sesuatu.

Menyalahkan anak-anak bukanlah cara terbaik. Mereka ada urusan seperti bekerja dan belajar walhal ibu ayah sedang sakit perlu rawatan dihospital.

Saya ada masa tidak sampai hati membenarkan anak menemankan saya atau isteri ke hospital kerana dia ada kalanya sibuk di tempat kerja. Bayangankan jika perlu ke hospital selang 3 bulan sekali. Semakin tua semakin banyak pula jumlah klinik/doktor harus dihadiri.

Kita hargai ada hospital yang memberi khidmat pelanggan yang memuaskan kepada pesakit mereka seperti menyediakan kereta letrik dengan pemandu khas.

Kita juga amat menghargai perkhidmatan Grab atau teksi yang memberi perkhidmatan hampir menyamai layanan seorang anak atau sebuah ambulan.

Nasib seorang anak melayan ibu ayah tidak sama. Saya pernah menguruskan ibu yang sakit Leukimia 31 tahun dulu. Saya tiada adik beradik yang ramai. Kakak pun sudah tua dan tinggal jauh maka tanggungjawab ini terletak 100% kepada saya hingga ibu meninggal dunia. Ketika itulah saya perlu ke hospital dua kali sehari selama lebih enam bulan. Kalau sebelah petang isteri dan anak-anak dibawa sama.

Tepat kata seorang ustaz, nak tahu susah atau payah menjaga ibu ayah ketika sakit maka kita akan tahu ketika mereka tidak dapat ke tandas dan bilik air. Segala urusan membuang air dan mandi di atas katil.

Pernah saya melihat seorang lelaki sebelah katil saya dilab badan dan dibersihkan bahagian sulitnya dari atas katil oleh Jururawat. Malah jika ada pesakit yang terlalu uzur mereka tidak dibenarkan ke bilik air.

Usaha badan sukarela yang datang ke wad-wad saya rasa amat diperlukan bagi membantu krew hospital mengikut peraturan yang dibenarkan. Cuma di era Covid-19 rasanya kehadiran mereka perlu dalam keadaan waspada.

Membalas jasa ibu ayah bukan mudah. Kata-kata yang berbunyi "mendukung ibu ayah mengelilingi Kaabah belum pasti terbalas jasa mereka".

Saya menulis hasil pengalaman seorang pesakit, mungkin pendapat saya boleh dipertikaikan. Namun sebelum pertikai rasai dulu pengalaman menjaga ibu ayah, atau isteri dan suami yang sakit. Ujian ini bukan sekadar berteori.

#kuasadoa #ujianAllah #kasihsayang

Allah Lebih Sayangi Kita

  Hari ini saya menerima panggilan telefon dari dua orang hamba Allah. Seorang yang kehilangan suami yang jemput kembali ke Rahmatullah. All...