01 Disember 2018

Setelah Anda Bersara

Oleh: Haji Abd. Raai bin Osman PJK:

KWSP Anda | Kenali Scammer | Kesihatan Dan Wang Setelah Bersara | 

Seorang yang pernah menjawat jawatan JUSA bersalam dengan saya dan saya mengucapkan selamat bersara. Beliau bertanya macam mana suasana selepas bersara? Saya senyum. Senyuman saya itu membuatkan beliau berkata "seronokkan tak payah fikir apa-apa, boleh lama kat masjid atau surau...", saya ketawa kecil dan mengakui kata-kata tokoh yang baru bersara seminggu.

Saya pernah menemui orang yang lebih veteran telah bersara sejak 10, 16 tahun lalu. Mereka bahagia. Ada pula yang saya temui yang baru bersara 2 atau tiga tahun mereka seperti kurang selesa. Itu semua rezeki masing-masing yang sukar kita ramalkan.

Paling bahagia ada yang setahun lepas bersara meninggal dunia. Ada rakan saya dalam tempuh belum setahun bersara dapat panggilan menunaikan haji. Lebih menarik ada rakan yang bersara sudah menunaikan haji, melancong ke negara orang, menunaikan umrah dalam dua kali ke Tanah Suci. Rezeki pada seseorang siapa yang tahu kecuali Allah dan dirinya sendiri.

Bersara pada kontek ini tak kira dari sektor kerajaan atau swasta. Saya pernah mendengar kata-kata orang bekerja makan gaji kalau bersara tidak semestinya kita akan berada dalam lingkungan menjadi orang kaya! Kecuali jika sebelum bersara kita telah membina perniagaan menerusi isteri atau anak-anak yang tidak ada kepentingan dalam mana-mana sektor kerajaan.


Seorang rakan Facebook mengusik saya, jarang ada orang mencadangkan masuk politik selepas bersara kerana kononnya gelanggang politik mampu menjadi kaya. Betul ke?

Selepas bersara, ramai yang jumpa saya bertanya, "abang buat projek apa?" saya kata "rehat...". Mereka kata rugi, saya banyak pengalaman kenapa tak berniaga. Saya senyum bangga kerana dianggap banyak pengalaman. Tapi mereka tidak tahu bahawa pengalaman saya hanya sesuai digunakan ketika muda. Saya akui bersara dalam bidang fotografi adalah muktamat. Kalau saya memegang kamera itu hanya hobi.

Menyesal bersara? Buat apa nak menyesal kerana saya bekerja sehingga genap usia 60 tahun. Saya puas bekerja sejak usia 21 tahun. Lepas SPM saya menganggur sekejap dengan menoreh getah dan menjadi pembantu kedai getah. Itu pengalaman paling berharga buat saya. Saya faham nilai wang. Selepas saya tamat kursus fotografi saya bertugas di UKM sehingga bersara.

Berhati-hati dengan wang.
Pesara sering kena tipu jika tidak berwaspada.
Elakkan berhutang setelah bersara.
Jangan lupa bayar zakat setelah dapat wang pampasan.
Sebelum bersara saya aktif. Bidang saya menarik. Boleh bekerja dan mengajar. Saya timba banyak pengalaman.

Ramai sekarang menjadi trend ialah bersara awal. Maksudnya jika mereka memilih untuk bersara pada usia 60 tahun mereka mengambil keputusan bersara awal pada usia 56 atau 58 tahun. Jika dalam perkhidmatan kerajaan setelah bekerja selama 30 tahun dan lebih mereka telah memperolehi wang pencen 60 % dari gaji terakhir. Banyak.....Sebenarnya tidak banyak.




Baiklah, saya ingin tumpukan kepada kegiatan anda sebelum pencen.
  1. Bersedia dengan kesihatan anda. Buat pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda sihat. Jika tidak sihat dengan penyakit yang kronik sila buat rawatan susulan dengan hospital pakar.
  2. Jaga rekod perkhidmatan. Jika rekod tidak baik maka  ia akan merugikan diri sendiri jika dibuang kerja. Jangan marahkan pegawai atasan jika anda kerap ambil cuti sakit tanpa sebab. Lagi teruk jika anda kaki ponteng.
  3. Kemaskini KWSP, Cukai Pendapatan. Pastikan semua rekod tiada masalah. Jika layak membayar cukai sila bayar.
  4. Jika ada hutang rumah dan kereta maka pastikan hutang dibayar dengan berekod.
  5. JANGAN membuat hutang baru jika tempuh kerja anda hanya tinggal lima tahun lagi nak bersara. Kecuali anda memiliki harta pesaka yang jelas anda miliki. Walaupun ada insuran yang akan melindungi hutang rumah atau kereta, tetapi bayangkan jika semasa pencen anda membayar hutang untuk tempuh lima tahun.
  6. Jika tiada lagi peluang naik pangkat untuk tempuh dua atau tiga tahun sebelum bersara usah risau. Bekerjalah dengan pangkat yang ada, bekerjalah dengan gaji yang ada. Mungkin anda tidak akan bertahan dengan kenaikan pangkat ketika berusia veteran sedang setelah naik pangkat anda kena bekerja dengan keras.
  7. Jika masih ada anak bersekolah rendah atau menengah ketika lima tahun lagi nak pencen sila buat perancangan kewangan yang betul.
  8. Adalah lebih baik 10 atau 20 tahun sebelum bersara ambil insuran yang boleh memberi pulangan kewangan ketika tamat polisi. Katakan polisi menawarkan RM20 ribu setelah ditolak wang proses anda akan dapat sekitar RM18 ribu. Jumlah itu sudah tentu cukup untuk membantu sesak anda.
  9. Ketika masih bekerja dalam tempuh 20 tahun lagi nak bersara anda boleh masuk koperasi. Jika koperasi tempat kerja anda kukuh ia sudah kira baik.
  10. Jika dalam sektor kerajaan bersedia untuk memenuhkan cuti terkumpul pencen. Ia melegakan anda ketika bersara.
  11. Bersedia dengan kepakaran atau kemahiran anda. Ia mampu membantu ketika masa terluang selepas bersara. Misalnya kemahiran menaip, komputer seperti mahir Photoshop, menjahit, menulis, bertukang, kemahiran baiki barang letrik dan kenderaan dan lain-lain.
  12. Amalkan membayar zakat pendapat atau zakat harta. Jika anda layak membayar maka ia akan menjadi saham akhirat.
  13. Kalau anda orang Islam, kebolehan dalam menguruskan jenazah, jadi Bilal dan Imam satu kelebihan.
  14. Setiap bulan, beli buku-buku agama, buku motivasi yang mana akan membantu kita setelah pencen. Paling terbaik koleksi Quran dan Tafsir. Buku-buku mahal dan boleh ditolak cukai pendapatan. Semasa ada wang belilah.
  15. Jika anda ada tanah, perniagaan atas usaha keluarga maka bantulah mereka.
  16. Bersedialah menunggu tarikh pencen kerana tarikh itu akan membuatkan anda gembira atau sebaliknya

Kata Dale Carnegie dalam bukunya, How to Stop Worring and Start Living; Kira-kira 90 peratus daripada perkara-perkara yang berlaku dalam hidup ini adalah sempurna, hanya 10 peratus sahaja yang salah. Sekiranya kita inginkan kebahagian, berikan tumpuan sepenuhnya kepada 90 peratus perkara yang sempurna itu, dan abaikan 10 peratus perkara yang lain. Sebaliknya, sekiranyanya kita mahu berasa bimbang, mengusutkan fikiran, serta mahu mendapat penyakit ulser perut, berilah tumpuan kepada 10 peratus perkara yang salah itu dan abaikan 90 peratus perkara yang sempurna (diterjemahkan oleh; Fakharoll Rodziee Don)

Saya telah bersara. Anda telah bersara dan anda yang lain akan bersara. Indahkah alam persaraan? Ada orang kata ya. Ada orang kata tak pasti.

Ada kawan saya selepas bersara berkata, selepas pencen anaknya kena berhenti kerja. Ada kawan saya selepas pencen merancang nak pakai kereta Mercerdes. Ada kawan saya selepas pencen buka kedai dan ada kereta mewah. Ada kawan saya selepas 6 tahun pencen berkerja semula dan dia kata seronok. Saya tak pasti dia seronok atau tidak. 

Sesetengah orang gembira selepas pencen dapat duduk masjid dan surau jadi ajk tempat ibadat. Mencuci masjid dan surau sambil mengajar kanak-kanak mengaji Al Quran. Ada yang jadi Imam, Bilal, tetapi bila ahli kariah tak ramai datang berjemaah dia jadi tekanan. Bila kanak-kanak kotorkan surau dia jadi resah. 

Di mana kita? Azizi Ali dalam bukunya Pesara Jutawan, 90 peratus kemungkinan bahawa anda tidak mempunyai wang cukup untuk persaraan. Penilaian saya ada pesara tidak bahagia dengan alam persaraannya. Ada pesara yang mendapat berbagai penyakit setelah bersara. Saya pernah bertemu seorang yang bersara dari perniagaan (kecil) yang duduk di masjid dan telah tiada sumber pendapatan.

Ramai yang kembali bekerja setelah lapan bulan bersara. Kenapa? Mungkin dia sunyi tinggal dengan isteri yang juga sudah bersara atau sebelum ini tidak berkerja. Apabila dia sunyi dia keluar minum-minum di luar sedangkan isterinya melayan sunyi keseorangan di rumah. Lebih malang ada yang bercerai selepas bersara. Malang juga ada yang berkawin lagi seorang selepas bersara dan terpaksa berhempas pulas bekerja kerana isteri masih muda dan dapat anak seorang selepas berkahwin.

Saya baru saja bersara tetapi sindrom sunyi sudah ada. Mujur saya mengekalkan dan melayan sunyi itu bersama isteri saya dengan aktiviti keluarga setelah bersara.

Berikut saya senaraikan apa yang harus di lakukan selepas bersara:

  1. Setelah dapat wang pampasan/KWSP sila bayar zakat wang simpanan.
  2. Simpan wang itu dalam tabung yang diyakini dan bekukan di situ untuk jangka masa tertentu.
  3. Jika pampasan anda lumayan melanconglah tetapi harus berjimat
  4. Bertekad dengan azam yang kuat untuk menunaikan haji jika belum pergi.
  5. Tunaikan umrah kerana jika wang kita digunakan ke jalan Allah pasti ada berkatnya. Jika mampu pergi sekeluarga.
  6. Fikirkan untuk berwakaf dan bersedekah. Wang kita tidak banyak, tetapi dengan bersedekah pastinya Allah akan membalas kembali. Cuma berhat-hati jangan kena tipu.
  7. Anda beruntung jika tinggal di kawasan perumahan atau kampung yang ramai orang pencen kerana sifat berlumba tiada lagi kerana semuanya telah menjadi wargamas. 
  8. Buat hibah dan wasiat segala harta yang ada biarpun sebuah motosikal yang telah tiada nilai. Jika ada keluarga yang mempunyai sifat amanah jadikan mereka sebagai penama. Jika anda meninggal dunia isteri dan anak-anak tidak jadi miskin.
  9. Jangan berhutang. Jika ada hutang langsaikan. Jangan ada lagi hutang kad kredit. Jika nak berbelanja dengan wang plastik gunakan kad debit.
  10. Kurang kos telefon, letrik, air, TV berbayar. 
  11. Banyakkan membaca dengan menggantikan menonton siaran TV.
  12. Perbanyakkan senaman. Misalnya berjalan-jalan untuk tempuh satu jam kerana setelah pencen kita sudah kurang berjalan.
  13. Usah mengingati sejarah perjawatan kita. Jangan ingat pangkat kita lagi kccuali jika ada gelaran dari istana.
  14. Menulis buku, blog atau laman web.
  15. Membaca Al Quran. Bukan asyik belajar sedang membacanya tidak, bagaimana nak lancar.
  16. Beritahu anak menantu bahawa anda perlukan masa bersendirian bukannya 24 jam menjaga cucu. Sesekali boleh sekadar untuk berhibur.
  17. Pesan kepada anak-anak bahawa anda telah bersara bukan ada gaji lagi. Ubah anggapan orang pesara adalah orang kaya baru. 
  18. Gunakan wang secara berhemah kerana ketika kita sakit tidak mungkin ada orang mampu membantu.
  19. Jika anda ada penyakit yang berat, lapangkan dada. Reda dengan pemberian Allah. Anggaplah penyakit anugerah Allah yang telah menentukan anda bukan lama lagi nak hidup. Pilih aktiviti hidup yang tidak menyusahkan orang lain. Usah melancong ke luar negara, jika terjadi sesuatu kos pengurusan perubatan amat mahal.
  20. Ingat semua orang telah bersara dan akan bersara. Usah dikenang jasa kita kepada tempat kerja kerana ia akan menyesakkan dada jika orang tidak menghargainya.
  21. Jadikan hari terakhir anda mengucapkan selamat tinggal dengan rakan sejawat atau orang bawahan adalah noktah. Maksudnya jika anda tidak berkunjung lagi ke pejabat selepas itu maka hari pencen anda adalah hari terakhir di situ. Sebab jika kunjungan selepas itu mungkin tidak ramai lagi yang mengenali anda lagi.
  22. Ubah gaya hidup. Mesrakan dengan rakan-rakan setaman atau sekampung kerana merekalah yang menguruskan hari-hari terakhir anda di muka bumi ini.
  23. Ingat tidak elok mengharap mati. Tidak baik meminta mati. Tapi bersedia dengan hari kematian.
Catatan saya sekadar analisa awal. Mungkin tulisan ini akan disunting dari semasa ke semasa. Namun anda mungkin boleh menambah pada ruangan komen untuk berkongsi bersama. Bersedialah untuk bersara. Tapi jangan sedih di malam anda menyambut tarikh lahir ke-60 atau lebih awal. Ingat Rasulullah wafat ketika berusia 63. Jika kita melebihi usia itu kita adalah Da'i untuk mengubah masyarakat setempat kerana setelah kita meninggal jiranlah insan awal yang akan menziarahi jenazah kita, jiranlah yang akan membaca Al Quran sebelum keranda dibawa ke kubur.

Bersara seronok, bersara amat indah namun jika tidak kena dengan gaya kita akan menjadi manusia yang murung dan anak cucu akan bersedih sebelum kita dijemput Ilahi. Jika kita sunyi, rumah anak-anak yatim boleh dilawati kerana kehadiran seorang Atuk akan menceriakan hidup mereka.....

_________________________________________________
Dapatkan Buku Memoir Seorang Jurufoto tulisan saya dengan harga promosi RM30.  Buku kedua saya ini mencatatkan pengalaman sebagai jurufoto selama lebih 38 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia.  Sila hubungi dengan whatsap 0193393308
Dapatkan Buku Memoir Seorang Jurufoto tulisan saya.

Buku kedua saya ini mencatatkan pengalaman sebagai jurufoto selama lebih 38 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sila tempah di Shopee (klik)
__________________________________________________




Atas: Cetakan Pertama Telah Habis Dijual.
Dapatkan Buku Travelog Haji Cetakan Kedua 
 Sila tempah di SHOPEE (KLIK) 

Sebarang pertanyaan sila hantar whatsap ke: 0193393308






Kemaskini: 8 Mei 2023

28 November 2018

Menjadi Individu Hebat?

Sebelum saya berangkat mengerjakan umrah mulai 5 hingga 15 November 2018 saudara Pauzi Paimin dari Pusat Profesional UKM menghubungi saya untuk meminta menjadi ahli forum Program Jati Diri pada 26 November 2018. Saya bersetuju.

Rakan sejawat boleh membantu untuk kecemerlangan kita
tetapi jangan jadikan mereka mangsa untuk kehebatan kita
 





Jam 10.30 pagi 26 November saya tiba di Dewan Utama Pusat Siswazah UKM. Jika dulu saya hadir sebagai Jurufoto, Kali ini saya hadir sebagai ahli forum. Wauu, terasa hebat. Saya akan berada di pentas itu yang sering kali diduduki oleh orang-orang hebat. Tokoh-tokoh terkenal, tetapi hari ini saya seorang pesara yang dulunya hanya seorang kakitangan sokongan UKM.

Saya bersama Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong, Fellow ATMA dan KITA UKM dan Tuan Haji Khalis bin Mohd Salleh mantan Timbalan Pendaftar UKM duduk sebaris di atas pentas. Topik yang saya akan bincangkan nanti ialah Jati Diri. 

Setelah dua orang ahli panel memberi pendapat, maka sampailah giliran saya. Cuba bayangkan saya bercakap di depan peserta kursus dengan didengari oleh dua orang ahli penal lain. 


Saya menarik perhatian audien bahawa ketika zaman bekerja dulu ada yang menyebut saya adalah lagend. Rakan-rakan sejawat menyebut saya sebagai otai. Saya terima semuanya. Bagi saya itu semua hiburan buat saya yang sudah berada di hujung perkhidmatan. Kita lupakan kandungan apa yang saya cakap ketika berada di mikrofon.



Keluarga diperlukan ketika susah atau senang




Saya faham nama saya sering disebut dan menjadi rujukan terutamanya dalam bidang fotografi atau lebih tepat sebagai seorang kakitangan yang bergelar Jurufoto. Sebagai orang tua (Otai atau Old Timer) saya mungkin menjadi pencetus semangat ketika berada di gelanggang kerjaya. Atas faktor usia biasanya bukan di UKM sahaja, malah di beberapa Universiti Awam dan beberapa jabatan kerajaan mengenali saya. Itu dulu.......😟

Berada pada tahap yang dikenali ramai semua orang inginkan. Sebab itu membuatkan ramai berusaha ke arah itu. Namun ada juga yang tidak meminta terjadi begitu, tetapi namanya terus melonjak. Itu rezeki namanya. Setiap kita pasti akan ada tahap pencapaian. Usah risau kerana yang meletakkan kedudukan seumpama itu adalah Allah!


Anda berusaha untuk berjaya dengan berbagai cara. Anda berdoa kepada Allah (jika orang Islam). Ibu dan ayah juga berdoa sejak anda kecil untuk kejayaan anda. Maka anda seharusnya berasa bersyukur jika anda menjadi orang yang dikenali di dalam masyarakat. Tak kira dalam kelompok kecil atau besar. 



Akhirnya anda menjadi seorang individu hebat dalam sesuatu bidang! Jika ini terjadi anda harus bersyukur kepada Allah.


Kehebatan kita di belakangnya
adalah dengan sokongan isteri.
Jika kita hebat, ada orang lain
lebih hebat daripada kita

Ketika anda menjadi orang hebat walaupun hanya sebagai pekerja am, pembantu tadbir, pegawai, guru dan apa jua jawatan maka anda telah mencapai tahap profesional. Saya pernah mendengar seorang pakar motivasi berkata, anda harus menjadi seorang yang profesional dalam kerjaya anda. 

Bayangkan anda seorang pekerja am mungkin sebagai tukang kebun, tetapi anda adalah pakar dalam bidang anda. Pandai mengahwinkan pokok, pandai jenis-jenis baja dan racun maka anda adalah seorang profesional.



 






Setiap anugerah adalah kerana usaha dan doa kita. Anugerah yang kita dapat pastinya dengan izin Allah.




Menjaga tahap kehebatan kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah menjadi hebat. Berikut beberapa ciri-ciri yang harus anda pertahankan ketika berada di puncak kehebatan:
  1. Perwatakan - Jaga tingkah laku, Jaga percakapan. Jaga kebersihan diri. Jaga perangai
  2. Bersedia menerima tugas walau dalam apa juga keadaan. Kena pandai memberi alasan yang paling munasabah jika anda menolak. Tambahan kerja yang datang dari orang yang juga hebat.
  3. Bersedia menjadikan pejabat atau tempat kerja sebagai rumah pertama. Mungkin perlu berada di tempat kerja sehingga 12 jam. Jika 8 jam anda melayan pelanggan, maka 4 jam lagi adalah menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pasti anda faham waktu selepas jam 5 petang adalah waktu orang biasa-biasa sudah balik ke rumah. Waktu inilah panggilan telefon telah tiada. Mungkin anda datang 2 jam awal sebelum jam 8 pagi dan balik 2 jam selepas jam 5 petang. Memang sukar dilakukan jika anda suka mematikan komputer 5 minit sebelum 5 petang atau menghidupkan komputer tepat jam 8 pagi.
  4. Buat kerja lebih dari senarai tugas namun tidak mengganggu kerja orang lain atau overshadow rakan-rakan lain. Misalnya jika anda pemandu, selain memandu dan memastikan kereta bersih, anda boleh menjadi seorang makenik yang ringan andai kata kereta bos tersangkut di perjalanan anda sudah faham apa nak dilakukan.
  5. Belajar berfikir dengan pantas sepantas 1 minit jika ada masalah. Masalah kecil jangan fikir lama-lama. Misalnya jika bos kata "Hassan esok kita pergi Kelantan", sebelum satu minit anda sudah kata ok. Kecuali anda ada masalah besar dalam keluarga. Beritahu dengan bersopan, jangan menolak penuh kasar.
  6. Belajar jadi 90% faham kerja kita. Manakala 10% yang kita tak tahu rujuk kepada yang lebih arif atau berpengalaman. Misalnya jika mentol pejabat terbakar tolong tukar jika melibat pendawaian yang merbahaya panggil rakan yang pakar. 
  7. Menjadi otai satu kelebihan dari segi pengalaman, perwatakan walaupun anda tidak berkelulusan tinggi. Tetapi jika ada pegawai yang memerlukan khidmat anda maka anda adalah keutamaannya. Katakan anda pandai berbahasa Jawa, Minang, Cina atau Tamil pastinya anda akan dipilih.
  8. Jadi seorang guru jika anda telah bekerja lebih 20 tahun. Anda adalah aset yang berharga kepada organinasi. Maklumlah mana ceruk, mana sudut anda tak hafal walaupn berjalan dalam gelap!
  9. Anggaplah rakan sekerja yang mudah seperti adik beradik. Hormati pangkat mereka. Hormati kelulusan mereka walaupun mereka jauh lebih muda. Lakukan seperti dalam keluarga walaupun abang long atau kak long tak sekolah tinggi tetapi adik-adik yang ada kelukusan PhD tetap menghormatinya kerana ketokohan mereka. Jangan cakap meninggi diri seperti "aku makan garam lebih duku dari kau" sebab jawapannya sudah ada "patutlah abang dapat penyakit Darah Tinggi"
  10. Elak memijak kawan atau kata orang mudah jangan kencingkan kawan jika ingin terus hebat. 
Semua kita mahu dihargai seperti orang lain biarpun cara
penghargaan itu adalah berbeza.


Banyak lagi yang boleh disenaraikan sebab ia adalah ciri-ciri semulajadi kita. Jika kita datang dari keturunan orang baik-baik pastinya tingkah laku kita adalah cukup sempurna.

Ingat pesan saya tanpa kita di suatu masa selepas bersara orang tidak terasa rugi. Organisasi kita tidak akan rugi. Jika kita hebat dan menjaga kehebatan kita maka kita yang akan bertuah misalnya jika selepas bersara dan kita telah kembali dijemput Ilahi, sudah pasti rakan-rakan lama akan datang ziarah di hari kematian kita. Amat beruntung jika ramai yang bersolat untuk jenazah kita.

Kata seorang ulama "nak tahu hebat atau tidak seseorang itu, lihat di hari kematiannya berapa ramai orang yang datang menyembahyangkan jenazah kita".



 


Dihujung kehidupan biar sehebat mana kita, hanya kain kafan menutup tubuh, amal ibadat penentu segala-galanya. Manakala yang akan mengangkat jasad kaku kita adalah rakan-rakan yang selama ini menjadi sahabat baik kita.


Nota: Sila tekan pada gambar untuk mendapatkan saiz besar.

*Catatan ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan.

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...