05 Januari 2011

Menoleh kembali ke arah belakang

Ketika saya memandu di daerah pendalaman Kedah pada 27 Disember 2010 lalu anak sulung saya berkata, " ayah bercerita kisah-kisah lama macam kelakar". Saya bertanya balik, "apa Along dan adik-adik tak percaya ke? Kalau tak percaya, malam ni cuba tanya Pak Ngah Wahid betul ke tidak cerita ayah ni". Adik-adiknya menyahut, " percaya...."

Apa tidaknya, saya bercerita kisah-kisah yang berlaku 30 dan 40 tahun lalu. Kisah ketika saya berada di daerah ini (Sik). Kisah pergi sekolah pukul 5 pagi dari Kampung Sungai Batang (kini Tasik Beris).

Namun mereka teruja apabila saya berhenti untuk seketika di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sik. Satu-satunya sekolah yang ada di Sik sekitar tahun 1970an. Walaupun saya tidak masuk ke perkarangan sekolah, namun dari luar saya masih dapat mengamit memori tahun 1970-1975. Kisah saya menjaga jalanraya bersama rakan-rakan. Kisah Kebawah Duli Sultan Kedah berangkat ke sekolah itu. Waktu itu majlis itu cukup hebat. Maklumlah Sultan yang kita sayangi hadir mencemar duli ke sekolah yang jauh dari Bandar Alor Setar.

Kisah saya dan rakan-rakan pengakap berkhemah bersama pandu puteri. Masih saya ingat gelagat Zaki Din, Osman Nawang, Marzuki Zainol, Rosli Deraksa, Norlia Daud, Razak Hashim, Razak Salleh. Oh ramai lagi.Pernah rakan-rakan ini datang lewat, tak pakai lencana sekolah, pakai kasut tetapi tanpa sarung kaki. Saya pernah menjadi pengawas sekolah. Guru pengawasnya Cikgu Abdullah Ahmad. Bila membuat duty mingguan saya pernah jadi ketua. Kalau rakan-rakan sekolah tak pakai sarung kaki, mereka kena denda menulis karangan dalam seribu ayat "Esuk saya akan memakai sarung kaki" atau "esuk saya akan memakai lencana sekolah"

Tapi kalau saya memberi denda ini rakan-rakan sekolah tidak pernah membalas dendam. Belum pernah saya lihat kereta atau vespa Cikgu Lah dipancitkan. Kalau mendengar nama Cikgu Lah semua orang akan kecut perut. Saya bukan tidak pernah kena denda dengan Cikgu Lah tetapi tidak pernah berdendam dengan beliau.

Masih ingat rakan saya Norlia, bila dia masuk di kelas memasak pastinya kami akan makan masakannya. Cikgu Harun pernah bagi rakan saya guna vespanya. Yalah masa tu kalau cikgu pakai vespa dah kira gah. Ingat lagi Cikgu Lee (orang Pulau Pinang) menjual t shirt habis anak muridnya membeli. Akal peniaga ada padanya. Itulah sekolah yang tidak dapat saya lupai. Itulah rakan-rakan yang pernah saya gauli. Razak Hashim pernah kena rotan dengan Cikgu Lah akibat salah faham dengan saya, namun hingga kini menjadi rakan karib dan Facebook saya dan Cikgu Lah.

Kalau cerita pasal rokok, budak-budak sekolah zaman tu ada juga yang merokok, tetapi masih "menghormati guru" dengan tidak merokok di kawasan sekolah. Kalau merokok juga sudah pasti akan menjadi mangsa Guru Besar, Cikgu Rahman yang terkenal dengan rotannya. Kalau sebut rotan Cikgu Rahman semua budak-budak kecut perut. Baik lelaki mahu perempuan. Mana tidaknya rotan beliau dipegang dibelakangnya dengan berjalan mengilas tangan.

Jikalau kami kena rotan tidak pernah budak-budak samseng datang menyerang sekolah. Seingat saya, belum pernah ada anggota polis masuk sekolah, kerana kuasa guru ketika itu macam polis.

Rugikah saya menceritakan kisah silam? Anak saya berkata tidak. Malah, saya menjadi seperti tukang cerita dalam kisah dongeng lama. Kita sedia maklum kisah lisan lebih berkesan dari cara penceritaan lain. Ketika saya tiba di Telaga Batu, Sik saya menceritakan bahawa 40 tahun dahulu kawasan itu amat merbahaya. Kalau sudah pukul 4 petang tidak ramai pemandu teksi yang mahu ke kawasan pedalaman. Apa tidaknya ketika itu komunis boleh muncul di atas jalanraya. Namun sepanjang perjalanan saya dari Sik menerusi Tasik Beris, Gulau, Nami, Pokok Sena, Langgar tidak terfikir oleh anak-anak saya bahawa suatu ketika dulu pernah wira-wira negara (anggota keselamatan kita) yang telah diserang hendap. Ramai yang terkorban. Itulah jalan yang pernah menjadi kawasan perintah berkurung suatu ketika dulu sekitar tahun 1960-1980an.

Membawa anak remaja yang sudah faham erti kehidupan maka saya akan memperolehi maklumat sebenar perasaan mereka apabila anak sulung berkata " pening kepala kakak kalau hidup di sini, tak ada restoran makanan segera, tiada shoping kompleks". Namun saya lebih suspend apabila sepanjang pemanduan dari Pekan Sik hingga ke Pekan Pokok Sena tiada petrol pump. Bayangkan kalau minyak kering?

Walau bagaimanapun daerah pedalaman Kedah kini tidak seperti dulu kerana semua kampung telah dibekalkan dengan letrik dan air yang bersih. Cuma kalau kemudahan yang nikmati oleh remaja bandar tiada di sini maka itulah kelebihannya sebagai identiti sebuah desa!

Kenapa saya mencatatkan kisah ini? Pada saya daerah ini masih mengekalkan keindahan semulajadinya. Namun tidak lagi mundur seperti 30 tahun dulu. Justeru keasliannya harus dikekalkan kerana masih ramai masyarakat yang impikan suasana begini. Biarkan daerah sebegini dilawati sesekali agar masyarakat tidak lupa tempat asal usulnya.    Lihat album percutian saya

03 Januari 2011

Puncak Beris yang damai

Ketika  berhenti untuk merakam gambar pemandangan Tasik Beris, saya disapa oleh seorang lelaki bersongkok putih dari dalam sebuah rumah. Kemudian kami bersalaman dan dia memperkenalkan namanya Rashid. Apabila saya mengetahui beliau adalah pemilik Chalet Puncak Beris maka saya memperkenalkan diri bahawa pernah mendiami Kampung Sungai Batang tiga puluh satu dahulu. 

 Sifat keramahan Haji Rashid bertambah lagi apabila saya memberitahu ingin merakam untuk dibawa balik ke UKM bagi tujuan mempromosi chalet beliau kerana ada waktunya kami membuat kursus pendek di luar kampus.

Puncak Beris berkeluasan 9 ekar. Haji Rashid membeli tanah tersebut dari dua belas pemilik setelah tanah mereka berbaki hanya sedikit setiap seorang ketika pembinaan Tasik Beris. Dengan keluasan tanah sebanyak itu maka Haji Rashid telah membina bangunan chalet untuk kemudahan peminat alam semulajadi. Kepada peminat aktiviti air seperti berkayak, berakit, memancing boleh menyewa chalet beliau pada kadar yang amat murah.

Chalet-chalet yang dibina dari sumber hutan
Terletak di pinggir jalan utama dari Sik ke Nami/Gubir (boleh terus ke Alor Setar), Puncak Beris memberi jaminan kedamaian yang asli. Sunyi disamping udara yang nyaman.Chalet-chalet di Puncak Beris telah bina bercirikan tradisional. Bahan-bahan seperti buloh, rotan dan daum rumbia dijadikan rumah-rumah penginapan yang menarik. Namun bagi pengunjung yang ingin keselesaan yang lebih terdapat juga chalet yang bina dengan simen.

Haji Rashid pernah menjadi Guru Besar  ketika Kampung Sungai Batang belum bertukar menjadi tasik. Justeru beliau boleh menceritakan kisah atau sejarah kampung tersebut. Lebih menarik apabila beliau mampu mengecam tempat-tempat atau rumah-rumah penduduk kampung tersebut.

Bagi anda yang berminat dengan suasana alam semulajadi maka menginap di Puncak Beris dengan suasana nyaman maka tidak rugi sekiranya bermalam semalam dua di sana.

Album Tasik Beris

Sesuai untuk aktiviti berkumpulan

Pondok berehat di tebing Tasik Beris

Kemudahan chalet berkonsepkan dom

Terdapat aktiviti air
Kemudahan tempat makan

Penginapan lebih selesa juga disediakan

Amat sesuai membawa keluarga bercuti di sini

02 Januari 2011

Kenangan hujung tahun 2010

 Banyak kenangan kami sekeluarga ketika berada di Perak, Pulau Pinang dan Kedah sepanjang bercuti di sana dari 25 hingga 28 Disember 2010.

Saya dan keluarga ke sana kerana ada kenduri kahwin di dua rumah sepupu. Satu pada 25, dan satu lagi pada 26 Disember. Bertemu rakan facebook di Parit Buntar iaitu Sdra Rahim dan isterinya. Berkunjung ke ladang anggur Tasik Beris tidak menariknya.

Walaupun singkat sahaja percutian saya, namun hasrat untuk menghubungkan silatulrahim antara keluarga sahabat telah tercapai. Mudah-mudahan diberkati Allah kepada kami dan mereka yang sudi menerima kami sebagai tetamu

25 Disember 2010: Singgah di rumah Sdra Rahim dan Shafa,
Parit Buntar, Perak

26 Disember 2010: Bersama keluarga di Permatang Pasir,
Permatang Pauh

Isetri saya ( duduk dua dari kiri) di Permatang Pasir,
Permatang Pauh

27 Disember 2010: Di Ladang Anggur Tasik Beris

Di Tasik Beris
Di Ladang Anggur Tasik Beris

27 disember 2010: Di pekan rabu, Alor Setar


28 Disember 2010: Bersama keluarga Haji Wahid
(empat dari kiri) di Beris Jaya

Tasik Beris

Kali terakhir saya datang ke Kampung Sungai Batang ialah pada tahun 2002 kerana urusan mengecam kubur arwah ayah kerana akan digali dan dipindahkan ke kubur baru di Beris Jaya. Selepas itu Kampung Sungai Batang hanya tinggal nama, namun masih terpapar di peta Google!

27 Disember 2010 saya bersama keluarga kembali ke sana namun hanya melihat Tasik Beris hasil yang terbentang luas dari bekas Kampung Ternas hingga ke Kampung Batu Seketol. Perubahan begitu ketara kerana hasil terbinanya tasik ini maka wujudnya pulau-pulau kecil, jambatan besar dan yang paling menarik telah wujud chalet-chalet dan Ladang Anggur Beris. Terbinanya Tasik Beris telah melihat kawasan ini telah menjadi tempat kunjungan pengujung dari luar Daerah Sik.

Pulau ini pernah terdapat rumah-rumah suatu ketika dulu

Kawasan Kampung Paya

Pemandangan dari Chalet Puncak Beris
Bekas Jalan Sik ke Nami, Gubir, Alor Setar
Lagi gambar di




























Tasik Beris tidak sebesar Tasik Cini, Tasik Kenyir dan Tasik Belum yang pernah saya kunjungi. Namun ketika melawat Tasik Beris nostalgia lama datang dalam ingatan.

Keluasan Tasik Beris ialah 116 km ini membolehkan aktiviti air seperti berkayak, memancing boleh dilakukan. Saya sempat bertemu Hj Rashid pesara guru yang mengusahakan chalet Puncak Beris. Beliau adalah pesara guru dan pernah menjadi guru besar di Sekolah Kebangsaan Sungai Batang. Kini chalet beliau yang terletak beberapa meter sahaja dari bekas sekolah lama itu.

Chalet yang dibina dengan sumber asli seperti buloh, rotan berbumbung rumbia mampu membawa pengunjung kembali ke alam semula jadi. Harganya begitu berpatut.

Tasik Beris dibina hasil perpindahan enam buah kampung kecil yang terdapat di Kampung Sungai Batang. Kini kesemua penduduk tersebut telah dipindahkan ke Pekan Beris Jaya, Sungai Pau,Sik.Terletak 16 km dari Pekan Sik. Kalau dari Lebuhraya Utara Selatan masuk ikut susur keluar Gurun sejauh 32 km.

Walaupun pada peringkat awal timbul bantahan namun kini mereka menjalani kehidupan dalam keadaan selesa di tempat baharu. Di Beris Jaya mereka telah disediakan tapak rumah, masjid, dewan orang ramai dan lebih menarik lagi Kopersi Beris Jaya telah wujud yang membolehkan penduduk menjana ekonomi yang sempurna.

Seorang sahabat sempat menceritakan hasil pampasan yang diberikan kerana pegambilan tanah, beliau dan rakan-rakan sekampung telah dapat menunaikan fardu haji dan membeli tanah sebagai ganti tanah yang telah diambil oleh kerajaan.Saya sempat berjemaah ketika bersolat fardu di masjid Beris Jaya dan menikmati keselesaan mereka.

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...