01 Januari 2010

Telah genap tiga belas tahun

















Foto kiri: Pelajar Sesi 2009-2010 Kanan: Sesi 208-2009
Hari ini genap tiga belas tahun saya mengendalikan kursus Seni Foto Ko Kurikulum di UKM. Saya masih ingat ketika itu kursus ko kurikulum hanya diwajibkan kepada pelajar untuk memenuhi syarat pengijazahan. Tanpa lulus kursus ini mereka tidak akan dapat segulung ijazah.
Setiap hari Rabu saya akan memulakan kuliah/simulasi bermula pukul 5 petang. Agak kelam kabut juga mengendalikan kuliah itu kerana ia akan bermula pukul 5 hingga 8 malam. Pukul 8 malam saya perlu menghantar anak ke kelas pengajian Quran sehingga pukul 9 malam.

Syukur beberapa tahun kemudian UKM telah mengubah pengajian kursus ko kurikulum pada hari Sabtu. Justeru saya mengambil pukul 9 pagi hingga 12 tengahari. Rasanya pukul 9 pagi agak selesa. Namun pada waktu itu jadual bekerja kakitangan kerajaan Sabtu minggu pertama bekerja dan Sabtu minggu kedua tidak bekerja. Maka jikalau hari Sabtu cuti saya akan memulakan kuliah pukul 9 pagi, manakala Sabtu bekerja saya akan memulakan kuliah pukul 2 petang. Apabila Sabtu dijadikan cuti rehat, saya hanya mengadakan kuliah pukul 9 pagi.

Menjadi tenaga pengajar sambilan di UKM harus menunaikan tanggungjawab di luar waktu pejabat. Oleh itu saya harus pandai-pandai menguruskan masa. Kalau tidak stress akan menjadi satu masalah dalam hidup saya.

Hari ini saya sudah mempunyai alumni bagi kursus ini lebih 400 orang. Mereka di mana kini? Sebenarnya mereka tidak menjadi jurufoto. Mereka mungkin seorang guru, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, esekutif di agensi swasta. Jadi, untuk apa mereka mengambil kursus ini sedangkan jumlahnya begitu ramai sejak tiga belas tahun dulu?

UKM tidak menawarkan kursus seni foto, tetapi universiti ini hanya  menawarkan kursus  kepada semua pelajar yang berdaftar dengan program di mana-mana fakulti. UKM menawarkan kursus ko kurikulum dalam berbagai bidang. Kebudayaan, Sukan, Pesukan Beruniform, Khidmat Masjid, Persatuan Pelajar dan Khidmat Masyarakat.

Kini, UKM menawarkan 6 unit kredit untuk kursus ko kurikulum dan ditambah dengan kegiatan persatuan sebanyak 2 unit. Kursus ini merupakan bertaraf diploma. Pengajar walaupun bertaraf sambilan, tetapi mereka datang dari kalangan profesional di luar. Justeru tidak timbul kursus kami di UKM tidak profesional.

Hasilnya UKM telah memenangi persembahan keseluruhan di Festival Kebudayaan IPTA 2009 (FEStKUM 2009). Hasil kehebatan sukan kriket, UKM menjadi juara dalam Kejohanan Kriket Versiti Asia 2009.

Secara peribadi, saya menikmati kepuasan mengajar pelajar-pelajar bagi kursus seni foto. Walaupun mereka belum lagi muncul sebagai jurufoto profesional, namun mampu membawa hasil dari kandungan kursus ke dalam kehidupan kini. Ada graduan UKM yang mampu menjadikan seni foto sebagai satu pekerjaan sampingan sebelum mendapat kerja tetap.

Insyaallah selagi Allah memberikan keizinan bersama restu UKM saya akan meneruskan usaha ini sehingga 2015. Kerana apabila saya bersara pada 2016 hati ini akan menikmati kepuasan yang belum saya dapat duga.

28 Disember 2009

Sekali lagi! Bila lagi agaknya?


Kemalangan bas express yang melibat 10 orang terkorban di Ipoh mengejutkan Polis, Bomba, RELA, petugas hospital, wartawan. Sebenarnya lebih mengejutkan lagi ialah keluarga mangsa yang terlibat. Bagaimana dengan pemandu bas express?

Kemalangan melibatkan nyawa seramai 10 orang bukan boleh dibuat main-main. Seorang pemandu yang hanya melanggar seekor ayam atau kucing boleh trauma seminggu. Inikan pula 10 orang.

Sesiapa sahaja yang pernah bertemu bas perjalanan jauh di lebuhraya mungkin sering bertemu dengan pamandunya yang memandu laju. Maaf kepada yang tidak memandu begitu.

Saya pernah memberi laluan kepada sebuah bas yang dipandu laju di belakang kereta saya. Saya pernah melihat sebuah bas membunyikan hon kepada sebuah kenderaan dilebuhraya sedangkan kereta tersebut memandu di lorong tengah.

Saya pernah menaiki bas dari Guar Chempedak, Kedah pada suatu malam. Selepas bas tersebut mengambil penumpang di Sungai Petani, Kedah bas tersebut hanya berhenti rehat di R&R Tapah, Ipoh. Bayangkan waktu itu saya baru tersedar tidur sejak bas meninggalkan pekan Sungai Petani.

Jikalau hendak diriwayatkan kisah bas express memang banyak. Malahan anak saudara saya pernah menegur seorang pemandu bas yang memandu dalam keadaan mengantuk. Senario ini memang menggusarkan ibu bapa yang menghantar anak-anak balik ke asrama atau ke mana-mana pusat pengajian.

Memandu sudah tentu banyak risiko. Seorang atau ramai. Inikan pula membawa penumpang lebih 20 orang.

Saya pernah diberitahu, bas-bas express mempunyai kuasa turbo. Sebab itu kebanyakkan bas-bas tersebut mampu dipandu laju. Namun harus kita ingat kuasa turbo itu hanya untuk memudahkan mereka mendaki bukit.

Pernah seorang rakan memberitahu, beliau memandu bas seorang diri dari Johor Bahru ke Pulau Pinang membawa pelancong dari China. Saya bertanya rakan tersebut tak mengantuk? Kata rakan saya mengantuk memang mengantuk tetapi kena usaha juga kerana syarikat ingin untung tanpa menyediakan pemandu gantian.

Kita faham kalau berlaku kemalangan antara sebab ialah kecuaian. Tidak dapat lari juga untuk dikaitkan dengan takdir. Namun saya fikir kenapa kita yang beragama Islam menggunakan kaedah agama yang ada?

Andai perjalanan pukul 9 malam, pemandu bas mungkin boleh memulakan perjalanan dengan solat hajat dua rakaat, berdoa dan sebagainya demi memohon perlindungan Allah!

Mungkin ada orang berkata "ah kalau nak maut, maut juga". Itu betul, bukankah itu keadah kita. Mana tau kalau berlaku kemalangan pun, tidak lah melibatkan seramai 10 orang. Sebab ada kes-kes yang melibatkan bayangan "hantu" (dakwaan sesetengah pemandu). Namun dakwaan itu tidak laku di mahkamah. Justeru berusahalah dengan memohon pertolongan Allah. Kalau tidak, mana mungkin kita diajar dengan doa memulakan perjalanan?

Kita tidak mahu kejadian "sekali lagi" berlaku melibat kemalangan. Paling menyedihkan ada pula dailog "bila lagi agaknya?" kemalangan ngeri berlaku.

Pada hemat saya bukan sahaja keluarga terlibat yang akan menitiskan air mata melihat keluarga mereka menjadi mangsa. Pada hal pegawai polis dan anggota penyelamat lain juga melihat kejadian itu terlebih dulu menitis air mata namun mereka tetap menjalankan tugas demi kerjaya.

Penumpang harus peka dengan sikap pemandu bas. Mereka boleh menegur. Penumpang membayar harga perjalanan untuk selesa dan selamat sampai ke destinasi. Kepada anda yang akan menggunakan perkhidmatan bas samada perlu atau terpaksa maka ingatlah pesan saya kita ada hak untuk menegur pemadu bas kerana dia dibayar gaji untuk kita.

Mungkin penumpang boleh menggunakan khidmat polis peronda untuk menelefon dan memberitahu kepada mereka andainya pemandu itu degil. Semua ini sekadar berusaha sahaja.

Takdir Allah

  Jika anda membaca status saya tentang hubungan anak, isteri, suadara mara bukan bermaksud saya ada masalah dengan mereka. Mereka tiada mas...