05 Mac 2012

Saya bukan sekadar lilin yang menyala.......

Ketika saya dijemput menghadiri Malam Anugerah Seni UKM 2011 oleh seorang pelajar tidak terfikir pun bahawa pada malam itu akan dianugerahkan sekeping sijil. Sijil yang mengiktirafkan saya sebagai Jurulatih untuk tempuh 20 tahun.

Sememangnya saya telah lama berkhidmat di UKM sebagai Jurufoto sejak tahun 1979. Namun saya telah memulakan perkhidmatan sebagai Jurulatih Seni Foto sambilan selepas itu. Semasa saya memulakan tugas mengajar dan membimbing pelajar dalam bidang seni foto masih lagi menggunakan filem. Malahan saya pernah mengajar mereka memproses filem hitam putih dan mencetaknya.

Setiap hari Sabtu saya akan bersama-sama pelajar-pelajar di kampus. Saya tidak pernah merasai nikmat bercuti hari Sabtu seperti orang lain, kecuali ketika pelajar bercuti di pertengahan atau akhir semestar.

Pelajar bersilih ganti. Sehingga kini saya telah melatih mereka hampir lima ratus orang. Cabaran memang ada. Setelah teknologi digital maka saya harus mempelajari teknologi itu. Saya perlu menghadiri kursus, mencari maklumat di internet, membeli buku-buku dan majalah. Bahan-bahan tersebut merupakan sumber rujukkan profesional selain mempunyai rangkaian rakan-rakan yang sama aliran.

Saya tidak pernah mempertikaikan soal bayaran. Saya bukan seorang Jurufoto Komersial yang ingin mengangkat diri menjadi tenaga termahal kerana bakat dan ilmu saya. Saya hanya dibayar cuma RM20 pada permulaan menjadi jurulatih kemudian RM25 dan kini RM50 sejam.

Namun bagi kadar yang dibayar oleh kerajaan ialah RM80 sejam. Saya bertuah kerana hasil usaha tanpa jemu kini saya boleh dibayar oleh UKM Holding sebanyak RM150 sejam. Jikalau saya mengajar untuk tiga hari sudah mampu menyamai sebulan gaji permulaan seorang pegawai pelaksana sektor awam.

Disamping itu saya sering diberi peluang menjadi penceramah di beberapa kolej kediaman pelajar UKM. Saya juga sering dipanggil menjadi juri pertandingan fotografi anjuran pelajar UKM.

Bagi saya, imbuhan bukan soal pokok kerana saya mempunyai gaji tetap sebagai Jurufoto UKM. Jauh dari itu ialah kepuasan saya dapat meluahkan ilmu dan pengalaman kepada pelajar. Sehingga kini sudah ada graduan UKM yang mampu menjalankan aktiviti sampingan merakam gambar samada untuk memperolehi rezeki sampingan atau dalam kerjaya hakiki mereka.

Orang sering bertanya  kadar yang paling tinggi yang diperolehi, saya menjawab dengan nada gurau bahawa mengajar tanpa bayaran adalah paling tinggi. Saya berkata begitu bukan apa, selepas saya mengajar secara percuma, saya akan memperolehi rezeki yang lebih lumayan. Walau apapun, kadar yang saya terima tidak melanggar kdar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan IPTA yang melaksanakan program kokurikulum yang mantap. Kini program ini menawarkan 8 unit bagi program Seni Foto dan lain-lain program dalam kokurikulum. Maka dengan adanya program sebegini para pelajar mampu meningkatkan PNGK mereka. Kaedah pengendalian kokurikulum telah berubah dengan pelajar yang menjalan kegiatan dengan saya dilantik menjadi penyelia program.

Harapan saya dan warga UKM ialah agar para pelajar akan memperolehi tahap kemahiran yang bermutu selain memperolehi ilmu yang dikejar dalam mengejar cita-cita meraka.

Setelah diberi penghargaan oleh UKM, maka saya fikir ia satu pengiktirafan kepada alumni IKBN Peretak. Saya dilahirkan oleh IKBN tersebut pada tahun 1977 untuk menjadi usahawan fotografi, namun saya tidak berjaya kearah tersebut. Kini saya membawa hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan siswa/i. Maka itulah cabaran yang wajib saya laksanakan bersama wawasan pentadbiran UKM.

***Abd Raai Osman, Bangi, Selangor - Pemenang Anugerah Seni UKM (Penerbitan Fotografi) sebanyak empat kali pada tahun: 2006,2008,2009,2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cara jaga kamera

Sila klik  dan tonton video