13 Disember 2020

Warkah Dari Hospital 5

 Sahabat, siapa yang mahu sakit? Saya pun begitu juga semasa muda dulu cukup gerun dengan penyakit jantung, barah, diabetes, leukimia. Arwah ayah saya diabetes, arwah mak saya leukimia.

Isteri saya ada penyakit, biar saya rahsiakan sebab itu hak peribadi beliau yang tak elok saya ceritakan kecuali saya yang ingin berterus terang supaya menjadi panduan orang lain.
Ramai orang fikir saya tak jaga kesihatan sebab tu saya sakit. Maaf sahabat penyakit ini anugerah Allah. Kita harus reda dan bersyukur jika sudah berpenyakit jangan menyusahkan orang lain.
Kita yakin semua yng hidup akan mati. Sebab itu kisah seorang pemuda meminta di hantar ke India oleh nabi Sulaiman dengan mengunakan kuasa angin. Ketika itu nabi Suliaman ternampak wajah malaikat maut. Setelah sampai di India, pemuda itu meninggal dunia. Fahamlah nabi Sulaiman bahawa pemuda itu telah tiba hari kematiannya (rujuk kitab Imam Al Qutubi 'Rahsia Kematian'.)
Kita hargai jasa petugas perubatan yang merawat kita namun kita jangan lupa kuasa Allah. Sebab itu setiap khutbah Jumaat wajib mengingati tentang tawakal.
Apa persiapan kita jika masih sihat untuk bersedia jika berlaku serangan penyakit:
1. Jangan abaikan Allah. Lakukan apa sahaja perintah Allah. Tunaikan dengan istiqamah segala rukun lima Islam.
2. Lakukan solat wajib dengan betul. Amalkan solat sunat seperti Duha, Tahajjut, Hajat, Witir dan lain-lain kerana ketika kita sakit solat sunat payah kita nak lakukan. Tetapi jika
menjadi amalan kita maka ketika sakitlah banyak peluang dilakukan. Umpamanya jika masih larat bangun kita lakukan di sisi katil hospital.
3. Banyak membaca Al Quran kerana bila sudah uzur mata pun dah tak nampak. Menyebut huruf pun ada yang betul. Bayangkan ada kes keluarga hanya memasang bacaan Yasin dari telefon ketika suami sedang nazak di katil hospital. Saya sedih tapi atas sifat kemanusiaan walaupun saya sedang demam, saya tolong bacakan.
Baca Quran bukan bermaksud pesakit saja itu kena baca tetapi keluarga pesakit kena baca. Kata ustaz Ahmad Dusuki, jika dah tak boleh baca, rabun dan sebagainya ambil Al Quran dan letakkan jejari dan bacalah apa-apa ayat yang kita hafal biar hanya Qulhu.
3. Harta kita untuk siapa? Berzakatlah sahabat, berwakaflah, bersedekahlah. Merayu setiap hamba yang mati agar dihidupkan kembali agar dapat melakukan sedekah atas hartanya. Menyesal insan itu.
Berwasiatlah ketika masih sihat. Jangan mencari harta atau sayang harta tetapi setelah tenat anak-anak sudah mula berebut hinggakan katil nak tidur pun tak ada.
Misalnya jangan berkira dengan wang jika untuk pengajian agama untuk anak-anak. Jangan bandingkan antara ilmu dunia dengan akhirat. Ia sama penting.
4. Anda yang membaca warkah saya adalah sahabat yang bijak dan beriman. Mungkin lebih hebat daripada saya.
5. Pesan saya jika ada keluarga sedang diserang penyakit bawalah jadi insan sempurna. Pandai mengurus orang sakit, pandai baca Quran, tahu apa nak buat jika ibu ayah meninggal di tenahmalam. Belajar cara nak jadi imam solat jenazah jika anak lelaki
Jangan bergaduh. Jika belum bersolat, bersolatlah. Jika belum tutup aurat tutuplah aurat.
6. Dari katil hospital saya sering mendengar raungan pesakit yang sakit 😭 Apakah raungan itu sama dengan ahli kubur dan ahli neraka? Jururawat tiada masa nak nasihat kita untuk bersolat. Tapi tahukah sahabat jika kita terlalu uzur nak turun katil pun mereka tak benarkan. Itu SOP nya. Sebab jika kita terjatuh mereka kena menjawab dengan laporan yang lengkap.
Ketika masih sihat bawalah menghafal apa-apa doa untuk mengukuhkan iman. Kita sering mendengar ada orang meninggal dalam keadaan terpilih, malam Jumaat, di Madinah, Mekah, tengah solat. Jika kita hendak begitu jadilah orang Islam yang sempurna.
Sakit tak pilih siapa. Ada yang kata dia jaga makan, jaga senaman di hujung kehidupan dia sakit juga.
Ada waktunya katil hospital menginsafkan kita tapi sejadah juga tempat kita bermunajat.
Ubat bukan penyembuh tapi iman yang menentukan kita mati dengan sempurna.
Ketika sedang nazak orang yang paling disayangi tak mungkin berada di sisi kita tapi yakinlah Allah sentiasa bersama kita.
7C katil 7 HCTM.
4 pagi.
Acik Mah, Nur Amirah dan 136 yang lain
48 Komen
14 Perkongsian
Suka
Komen
Kongsi

12 Disember 2020

Warkah Dari Hospital 4

 erima kasih dan syabas kepada KKM dengan SOP Covid yang dilaksanakan di tempat awam dan di hospital.

Kasihan juga melihat petugas yang bertegas dengan pesakit degil nak melanggar garisan zon larangan.
Kita harap jika ada yang dimasukkan ke zon saringan bersabar dan patuh segala peraturan. Kepada waris sebaik-baiknya usah datang ziarah resiko amat tinggi.
Bayangkan petugas wajib pakai baju khas jika nak masuk ke zon khas. Bayang selepas dia periksa orang lain dan datang periksa kita pula.
Paling menyeramkan dan sedih apabila pesakit yang seiring di Swap dengan kita dan dapat keputusan kemudian disurung dengan troli Covid.
Apakah itu perjalanan terakhirnya? Allahuakbar. Semuanya takdir Allah.

Warkah Dari Hospital 3

 Renungan

Sahabat mari saya kongsi pengalaman di hospital kali ini. Entah kesepuluh atau kelimabelas saya menghuni di wad-wad hospital ini, saya sudah lupa.
Menghuni di wad umpama berada di pinggir Alam Barzah. Wang yang banyak di bank tiada makna pun. Kalau bawa pun makanan hospital sahaja yang kita makan.
Petugas wad bersikap baik kerana mereka bertugas untuk kita. Tapi apabila mereka nak cucuk jarum, nak bedah tanpa belas kasihan mereka akan buat. Itu tugas mereka. Jika petugas Islam sudah pasti ada juga bacaan Bismillah. Itu manusia yang ada sifat kesihan belas. Malaikat Maut bagaimana?
Kadang kala kita yang akan dibius sedang menderita melawan emosi, petugas masih bersembang macam biasa sebab sudah tentu mereka stress bekerja.
Tambahan di zaman Covid mereka berdepan dengan resiko cukup tinggi. Belum lagi ragam pesakit ada yang masih degil ketika sedang dikuarantin.
Walapun sebenarnya masuk hospital bukan bermakna kita akan mati tapi mati itu pasti datang.
Apa yang kita kena buat jika masih sihat dan tidak pernah sakit teruk?
1. Bersolatlah. Berjemaahlah di masjid atau surau. Menitis air mata apabila mendengar azan sedangkan kita sedang sakit.
2. Ketika sihat kita boleh solat dengan sempurna. Belajarlah cara-cara solat ketika sakit. *Cara duduk, cara berbaring*.
Pengalaman melihat pesakit Islam langsung tak boleh atau tak mahu solat ketika sakit sedangkan mereka masih boleh berjalan, makan dan bercakap. Cukup sedih.
Di Malaysia mejoriti petugas hospital adalah Islam. Malah ada yang lulusan pengajian agama. Mereka ini mampu membantu kita. Amat malang jika tiada keinsafan.
Belum lagi jika saya sentuh hal zakat, wakaf, sedekah, membaca Al Quran. Sebab ketika kita tiba di Alam Barzah solat yang akan dinilai oleh Allah.
Jika anda sakit anda tidak rugi atau malang tetapi Allah memperlihatkan wajah-wajah bakal penghuni syurga atau neraka. Namun segala-gala hak Allah. Insaflah.

11 Disember 2020

Warkah Dari Hospital 2

Assalamualiakum. Hari ini saya sihat sedikit dan boleh buka mata setelah dimasukkan antibiotik dua botol. Ujian swap Covid saya negetif.

Namun pengalaman disaring di wad khas amat menyedihkan. Keluarga tak boleh berjumpa. Petugas wad begitu berhati-hati dengan pakiaan khas. Doktor hanya buat temuramah menerusi telefon.
Saya telah diberitahu jika positif akan ditempatkan di Sungai Buloh sehingga sembuh. Saya telah berpesan kepada keluarga andai tak kembàli, semalam adalah pertemuan kami yang terakhir.
Oleh itu diharap tuan/puan dapat mematuhi SOP.
Terima kasih petugas barisan hadapan di HCTM,/ PPUKM. Anda hero.
Pada hemat saya apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan namun waspadalah kerana rata-rata pesakit yang disaring berusia 60 tahun ke atas. Mereka cukup lemah dan menyedihkan. Allah memberikan gambaran jelas kepada saya bahawa jika dijangkiti Covid cukup menyiksakan. Belum lagi kira ambil kira soal emosi yang cukup tertekan.
Allah mendengar doa kita. Terima kasih doa tuan/puan.
Dari wad khas HCTM.

20 November 2020

Kursus Fotografi Online 01/2020

Pada hari Khamis 26 November 2020 Jam 10 pagi hingga 11 pagi saya akan mengadakan kursus asas fotografi online bagi penggemar fotografi yang baru ingin menceburi bidang ini. Saya akan membincangkan topik fotografi berdasarkan pengalaman sejak 1979 di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Saya berpengalaman selama 21 tahun mengajar fotografi di UKM. Penyertaan kursus adalah percuma dan peserta digalakkan membeli EBook Seni Foto dengan harga RM10 sahaja. 

 Sila emel kepada saya untuk saya kirimkan code online. Emel saya ialah roraai212@gmail.com Penyertaan tidak lebih dari 20 orang sahaja.

Nota: Telah selesai

19 November 2020

Selamatkan Harimau Belang

Sekitar jam 5 pagi di tahun 1973 bunyi tembakan senapang bergema di kampung saya. Oleh kerana kampung terletak berhampiran banjaran Titiwangsa maka anggapan tembakan dari senjata askar atau komunis adalah satu andaian pantas bagi seorang pemuda kampung.

Tak lama selepas itu berita mengenai seekor Pak Belang telah tumpas di tangan seorang penembak penduduk kampung saya. Dia menjadi hero kerana berjaya menumpaskan seekor harimau belang.
Kemunculan seekor harimau belang membaham mangsanya seekor kerbau jantan menjadi viral sebelum itu. Mengikut tabiatnya harimau akan kembali menjamu selera selepas menumbangkan mangsanya. Yalah seekor kerbau bukannya kecil. Tambahan untuk menjamu selera bagi hanya seekor harimau.
Selepas tumbang macam pesta sebab penduduk berduyun-duyun pergi melihat Pak Belang yang sudah tidak bernyawa. Malah ada yang bawa balik dagingnya untuk dimakan sebagai ubat lelah dan ubat-ubat lain. Ada yang membawa balik gigi taring dan berbagai lagi.
Lebai-lebai dan haji yang merupakan golongan menoriti di kampung itu gagal melarang. Tok Imam terpaksa menyelongkar kitab yang dipelajari di pondok untuk menerangkan bahawa daging harimau adalah haram.
Saya tidak berani menyertai pesta itu kerana kuatir pada 'hantu harimau' dan juga kuatir pada pasangannya yang mungkin datang menuntut bela!
Lantaran itu selepas saya aktif merakam gambar maka subjek harimau belang menjadi kegemaran saya. Saya simpati pada haiwan bernama harimau belang disamping gemar pada warna belangnya.
Saya juga amat pasti Pak Belang juga berselera tengok saya ketika melawat beliau di zoo.

17 November 2020

Kisah Wang KWSP/EPF: Sekadar Renungan

Pada tahun 1969 ayah saya meninggal dunia dan entah siapa yang tolong urus sebab saya masih berusia 11 tahun. Mak pergi dapatkan pengesahan Tok Penghulu dan tak lama arwah dapatlah sekitar RM500.

Kemungkinan urusan pengeluaran ini dibantu oleh pihak ketiga maka heboh juga mak jadi 'janda kaya' hinggakan jam 11 malam orang datang nak pinjam untuk buat sunat anaknya. Tapi jawab mak cukup fist class, "duit ada tapi kat pejabat pos". Masa tu belum wujud Bank Simpanan Nasional.

Ketika nak ambil SPM semasa dalam tingkatan 4, emak minta saya tolong uruskan keluarkan KWSP mak yang belum diambil lagi. Dengan tulisan tangan saya guna kemahiran mengarang surat hasil belajar kat sekolah. Pengeluarannya berjaya dikeluarkan tanpa sesiapa tahu kecuali saya.


Itulah hasil simpanan mak dan ayah semasa jadi pekerja estet. Tapi mak saya penjimatnya orangnya. Jika duit dah jadi 50 ringgit jangan harap nak digunakan. Kalau duit seratus lagilah dipegangnya erat-erat. Saya kata mak kedekut maklumlah saya tak boleh memandai wang miliknya.


Tahun 1988 saya keluar 100% duit KWSP. Akhirnya baru saya tahu rupa-rupanya keluaran itu termasuk wang milik majikan😁.


Kenapa saya catatkan kisah ini yang agak peribadi? Mudah saja. Jika kita tak perlu sangat atau sesak sangat usah keluar walaupun orang kata itu hak kita. Ia wang simpanan hari tua.


Cuba bayangkan selepas pencen saya ke pejabat KWSP dan rupa-rupanya masih ada berbaki agak lumayan. Saya keluar habis.


Tiga hari sebelum saya berangkat pergi umrah, saya menerima emel dari KWSP bahawa wang sudah masuk ke dalam akaun bank. Saya melangkah penuh yakin.
Duit kita hak kita. Kita nak buat apa itu urusan kita. Cuma kita susah tak semua yang akan membantu.

11 November 2020

Sedutan Ucapan Takziah Buat Radzuan Ghazali

 Saya terhenti menyaipkan buku Memoir Seorang Jurufoto sepanjang hari semalam setelah menerima berita pulangnya ke Rahmatollah seorang sahabat iaitu Radzuan Ghazali. Sila klik Radzuan Ghazali Dalam Kenangan untuk membaca lebih lanjut.

Sehingga hari ini telah ada 327 Like, 142 Komen dan ucapan doa serta 4 perkongsian di FaceBook saya setelah berita berpulangnya ke Rahmatullah Radzuan Ghazali. Kebanyakan yang membuat komen adalah warga UKM, pesara dan warga media yang sering berurusan dengan Allahyarham. Malah ada menghubungi saya menerusi telefon dan Whatsap.

Inilah kelebihan media sosial di saat kita menghadapi wabak Covid-19. Kerana SOP PKPB maka ada yang tidak dapat hadir ke majlis pengkebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Catatan ini tidak banyak yang menyentuh tentang Allahyarham tetapi saya ini menurunkan beberapa kerana komen dai FaceBook milik saya. Rata-rata mereka terkejut dan bersedih.




























10 November 2020

Radzuan Ghazali Dalam Kenangan



 


Radzuan Ghazali satu nama yang tidak asing lagi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pegawai Media yang bertugas di Pusat Komunikasi Korporat UKM.

Pagi ini saya menerima berita agak lewat selepas solat Subuh bahawa beliau telah meninggal dunia sekitar jam 12 tengahmalam tadi di Hospital Serdang, Selangor kerana serangan jantung.
Rakan-rakan media perdana TV Radio dan akhbar pasti mengenali Allahyarham sebagai pegawai media yang mesra dan suka bergurau.
Bagi saya yang pernah bekerja sepejabat dengan beliau memang banyak kenangan manis terutamanya apabila kami ke luar kawasan. Pernah bermalam sebilik walaupun kalau ikut kelayakan beliau tidur di bilik asing. Kemesraan bermula ketika bertugas di Bukit Fraser. Kemudian kami pernah ke Seberang Takir, Kuala Terengganu. Kebetulan ketika beliau masuk kerja di PRO nama PKK sebelum ini, isteri saya sepejabat dengan Allahyarham

Bagi warga UKM yang sering menganjurkan majlis seperti seminar, persidangan pasti biasa berurusan dengan Allahyarham yang ada kaitan dengan media. Jika bab media sesiapa pun tidak akan risau Allahyarham pasti akan layan sebaik mungkin. Baik bahan sidang akhbar, cenderamata, makan atau minum.

Setiap tahun di majlis konvokesyen UKM beliau antara pegawai yang bergerak secara solo membawa wartawan dan jurufoto bertemu sumber berita misalnya graduan yang cemerlang. Kadang-kala saya bergurau, "Sudahlah En Wan, kami dianak tirikan." Tetapi beliau beliau membalas balik, "Kau orang dalam pandai-pandailah cari sendiri".

Suatu ketika Allahyarham berpindah jabatan dengan tujuan agar ada penambahan pengetahuan dan pengalaman namun kata Allahyarham kepada saya "aku tak sesuai dengan kerja-kerja macam itu. Lebih sesuai jaga media untuk promosi UKM". Ketika itu ada rakan media yang bertanya "Wan sekarang kat mana? Saya dok masuk UKM dia dah tak ada?"

Malah dalam banyak perkara saya sering mendengar pujuk Allahyarham kepada wartawan, "Basir (wartawan NST), esok jangan lupa Front Page ye!". Tapi apabila rakan wartawan berkata itu hak editor dia hanya senyum.

Tidak dapat dinafikan dalam beberapa keadaan Allahyarham adalah pegawai yang terawal bertemu Naib Canselor bagi melapurkan apa-apa berita atau rencana mengenai UKM yang tersiar di media.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Allahyarham ialah kecekapan mengenal pasti siapa yang patut dirujuk jika pihak media menghubungi bertanyakan pakar dalam bidang tertentu. Misalnya jika topik bab alam sekitar beliau akan cepat memberitahu siapa Profesor yang patut dihubungi.

Di Pusat Komunikasi Korporat UKM, beliau antara pegawai yang datang awal ke pejabat. Kerap kali jika saya datang ke pejabat seawal 7.15 pagi Allahyarham telah hadir dan ada waktunya beliau sedang berada di mesin fax untuk menghantar siaran akhbar ke pejabat TV, radio dan media cetak.
Dalam FaceBook Allahyarham kerap buat komen pada status saya walaupun setelah saya bersara. Komen paling akhir ialah kisah misteri Bukit Mexwell dan Bukit Fraser. Satu komen yang saya anggap sebagai wasiat ialah mengenai Hard Dic gambar. Kata Radzuan hantar saya semua gambar ke Muzium Warisan Akademik UKM.😪

Kali terakhir saya bertemu Allahyarham sebulan lepas ketika ke pejabat Pendaftar UKM untuk menghantar borang tuntutan perubatan. Cuma masa itu layanan/gurauannya tidak seperti sebelum ini. Tapi saya abaikan semua itu kerana memikirkan mungkin dia sibuk.

Radzuan Ghazali dalam usia 53 tahun telah kembali dijemput Ilahi. Saya memohon agar sesiapa yang mengenali Allahyarham berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan muslimin.

Ketika sehari sebelum hari raya Aidilfitri kami masih bekerja. Kami sama senasib anak bongsu yang telah kehilangan ibu. Kalau lagu Ayah dan Ibu berkumandang air mata akan bergenang. Hari ini beliau telah tiada. Pergi tak akan kembali walaupun pencen ku dulu sesekali kembali bertemumu di UKM dan FB. Dalam gurau kami sering nasihat menasihati. Al Fatihah buat Radzuan Ghazali. Aku terlalu sedih. (catatan dalam Instagram saya)

Sahabatku, ketika kau kembali di suasana Corona Covid-19 ini saya tidak dapat menziarahimu kerana terpaksa mematuhi SOP PKPB tambahan saya mempunyai penyakit kronik. Selamat berangkat sahabat ke alam barzah. Insya-Allah kita akan bertemu di sana dengan izin-Nya.

Al Fatihah buat sahabatku Radzuan😪😪. Takziah buat keluarga Allahyarham Radzuan Ghazali.😪



10 November 2020
Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, Bangi, Selangor


Gurauan yang akan dikenangkan sehingga akhir hayat saya.







Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...